Suami kepada pelakon popular Erra Fazira menafikan dakwaan bahawa dia telah berkahwin lain dan memilih untuk berpoligami sebagaimana yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Menerusi laporan yang disiarkan akhbar tabloid Harian Metro hari ini, Engku Emran Engku Zainal Abidin berkata Erra Fazira adalah satu-satunya isterinya dan tidak pernah terfikir untuk berkahwin lain.

“Demi Allah, isteri saya hanya Erra seorang. Kalau betul saya kahwin lagi, mestilah sekarang sudah ada gambar-gambar upacara itu dikeluarkan di internet.

“Saya pernah dengar pasal gosip ini sejak tahun lalu, tetapi saya anggap ia tidak serius dan sebahagian mainan dunia hiburan.

“Tetapi, lama-kelamaan ia semakin besar dan saya ingin jelaskan yang gosip saya menduakan Erra, sama sekali tidak betul. Yang penting, Erra, keluarga saya, keluarga mentua tahu perkara sebenar.

“Dan untuk pengetahuan semua, saya dan Erra masih tinggal sebumbung dan tidur sekatil,” kata Emran di dalam akhbar popular berkenaan.

Sementara itu di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini pula, Emran berkata dia tidak sekalipun terfikir untuk mengamalkan poligami memandangkan ia tidak pernah berlaku dalam keluarga terdekatnya sebelum ini.

“Bapa adalah idola saya dan beliau bahagia dengan hanya satu isteri, ibu saya.Begitu juga dengan bapa saudara saya yang lain, tidak pernah ada keluarga terdekat saya yang berkahwin dua.

“Jadi, saya sendiri tidak pernah terfikir untuk kea rah itu, apatah lagi dalam keadaan rumah tangga kami yang tidak berhadapan dengan sebarang masalah besar,” katanya.
Dengan penjelasan itu, Emran berharap agar pihak yang telah menabur fitnah kepadanya supaya segera insaf.

Kata Emran, dia perlu menjernihkan keadaan kerana tidak mahu Erra Fazira terus tertekan dengan soalan-soalan yang sama daripada pihak media.

Source : http://www.murai.com.my/article/default.asp?article_id=12232&c=1&s=1