Biarpun namanya tidak segah Datuk Siti Nurhaliza dan Erra Fazira, tetapi anak Felda Tenggaroh Selatan ini cukup bertuah. Banyak pihak yang sudi menaja majlis perkahwinannya dengan pelakon kacak, Norman Hakim.

Dalam majlis resepsi yang diadakan di rumah pengantin perempuan kelmarin, Memey tampil bagaikan Puteri Raja dalam dua persalinan mewah sentuhan pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat dan Rizman Ruzaini. Dianggarkan kedua-dua gaun moden ini berharga hampir RM30,000 kerana ia menggunakan perincian eksklusif.

Menurut Hatta Dolmat, dia mengambil masa dua bulan untuk menyiapkan gaun berona merah jambu dan pic itu.

“Kalau ikut citarasa peribadi saya, sudah pasti saya gemarkan baju yang menggabungkan ciri-ciri tradisonal dan moden, tetapi Memey lebih cenderung kepada rekaan moden. Jadi, untuk memenuhi kehendak pengantin, saya buatkan sepasang gaun moden yang menonjolkan kelembutan seorang wanita. Selain itu, saya juga sesuaikan rekaan ini dengan konsep majlis persandingan, iaitu perkahwinan dalam taman,” ujar Hatta.

Bagi Rizman Ruzaini pula, mereka menghasilkan gaun Memey dengan mengambil inspirasi daripada gaun rekaan pereka fesyen antarabangsa, Elie Saab. Memilih rona putih dan merah jambu, gaun moden ini mewah perincian batu permata.

“Dianggarkan terdapat kira-kira 1000 butir permata yang saya gunakan dan semua itu adalah asli. Saya gunakan fabric berwarna putih dan merah jambu kerana saya memilih konsep perkahwinan Inggeris untuk busana ini. Walaupun meminjam sedikit idea daripada Elie Saab, tetapi pada dasarnya, gaun ini adalah ilham kami berdua,” ujar Rizman.

Ditanya pendapat mereka tentang penampilan Memey pada hari majlis persandingan itu, baik Hatta mahupun Rizman, masing-masing mengakui pelakon itu tampil cukup menawan persis seorang Puteri Raja.

Kami rasa Memey cukup jelita dan menawan. Rezekinya memang murah kerana walaupun masih baru industri, tetapi ramai yang mahu memberi penajaan. Kami sendiri tergerak untuk menaja baju perkahwinan ini kerana terpesona melihat kecantikan dan penampilannya selama ini.

Majlis persandingan Memey dan Norman berlangsung dalam suasana yang cukup meriah pada petang kelmarin. Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 5000 orang itu dimulakan dengan acara persandingan dan menepung tawar dan diakhiri dengan acara memotong kek.

Selepas ini pasangan ini akan diraikan dalam majlis perkahwinan yang bernilai RM12 juta, di Hotel Crowne Plaza Mutiara, Kuala Lumpur. Majlis yang akan berlangsung pada 28 September ini ditaja sepenuhnya oleh jenama barangan kemas, Rafflesia.

Berkonsepkan Kosmopolitan, hanya 200 orang tetamu yang diundang dan dengar kata ada beberapa selebriti antarabangsa yang akan turut serta.

Source : Gua.com.my