Kemunculan Magika bagaikan satu fenomena yang baru buat seluruh Malaysia apabila dalam masa beberapa hari sahaja filem itu ditayangkan di pawagam, ia telah berjaya mengumpul jumlah kutipan tertinggi sebanyak RM1.3 Juta.

Memberikan maklum balas tentang hal tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif KRU Studios, Norman Abdul Halim berkata, sambutan memberangsangkan itu dilihatnya sendiri ketika turut besama-sama menonton di beberapa panggung di Lembah Kelang.

“Saya tak nafikan, filem ini benar-benar mendapat sambutan yang menggalakakan kerana saya sendiri yang turun ke panggung wayang untuk melihat reaksi dan respon penonton yang teridiri daripada latar belakang yang berbeza-beza.

“Saya dapati, rata-rata yang menonton semuanya terdiri daripada keluarga yang membawa anak-anak mereka menonton. Gaji juga salah satu faktor filem ini mendapat sambutan memandangkan ramai kakitangan kerajaan yang sudah bergaji hujung bulan ini.

“Namun saya mahu tegaskan disini, filem ini bukan saha sesuai untuk tontonan seisi keluarga malah ianya sesuai juga untuk pasangan remaja yang sedanga bercinta kerana terdapat juga kisah-kisah cinta yang kami selitkan,” jelasnya ditemui selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Bersama RIM 2010 baru-baru ini.

Selain mendapat maklum balas yang positif, menurut Norman lagi semasa bersama-sama turun padang melihat reaski penonton dia juga ada menerima beberapa kritikan mengenai filem terbitannya itu.

“Setakat ini banyak maklum balas positif yang saya terima berbanding yang negatif. Ada yang kata filem ini terlalu banyak nyanyian dan tarian tapi inilah sebenarnya yang mahu kita tonjolkan dalam filem ini. Mungkin ada ramai yang masih tidak faham lagi dengan konsep filem muzikal yang menampilkan 80% nyanyian, ” jelasnya lagi.

Walaubagaimanapun, Norman berharap filem Magika akan terus mendapat sambutan ramai dan menjadi satu cetusan idea baru kepada dunia perfileman negara.

“Harapan saya agar filem Magika akan menjadi filem yang boleh mencetus fenomena baru dalam perfileman negara supaya filem negara kita lebih berkembang dengan pelbagai genre selain genre komedi dan seram yang banyak ditayangkan kini,” tambah Norman.

Magika yang diarahkan Edry Abdul Halim mengetengahkan Mawi dan Diana Danielle sebagai teraju utamanya. Turut membintangi filem ini adalah M Nasir, Aznil Hj Nawawi, Ziana Zain, Ning Baizura dan Erra Fazira.