Ramai pasangan kekasih yang mengambil kesempatan untuk melangsungkan perkahwinan pada tanggal 10.10.10 termasuklah pelakon serta penyanyi, Aqasha.

Perkenalan yang terjalin selama dua tahundi antara Aqasha bersama tunangnya, Baizura Sabri sudah cukup meyakinkan Aqasha untuk mengahwini wanita yang menjadi pilihan hatinya itu.

Sewaktu ditemui murai.com.my di Rumah Terbuka Hari Raya Bersama RIM 2010, Aqasha memberitahu, Baizura merupakan wanita yang tepat buat dirinya.

“Bagi saya dia seorang wanita yang sentiasa menjadi tulang belakang saya dalam segala hal. Dia seorang perempuan yang sangat memahami serta menyokong apa sahaja minat dan kerjaya saya selama ini.

“Senang dan mudah dengannya kerana dia seorang yang sangat matang apabila lebih merelakan saya untuk menghabiskan masa atau menumpukan perhatian pada lakonan dan nyanyian saya.

“Mungkin dia faham apa yang saya buat sekarang ini adalah untuk memperkukuhkan kewangan saya demi kesenangan dan jaminan masa depan keluarga kami juga,” katanya yang mengikat tali pertunangan dengan Baizura pada Mei lalu.

Apabila ditanya sejauh mana persiapannya menjelang hari pernikahnnya itu, Aqasha atau nama sebenarnya Firdee Akasha Rosli ini memberitahu tidak banyak yang perlu dilakukannya selain persiapan mental.

“Tak banyak persiapan yang saya lakukan kerana pada tarikh tersebut kerana kami hanya akan mengadakan majlis nikah sahaja di rumah perempuan yang terletak di Sg. Besi, Kuala Lumpur. Cuma saya perlu bersedia dari segi mentallah sekarang ini untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami kelak.

Menurut Aqasha lagi, pada majlis resepsinya yang diadakan pada 25 Disember 2010 di Dewan Raja Muda, Shah Alam pula nanti, dia benar-benar mahu dirinya diibaratkan sebagai pasangan diraja.

“Memandangkan hanya pasangan pengantin sahaja yang berpeluang dipanggil raja sehari, saya telah pun mengambil tema itu nanti pada majlis pernikahan serta resepsi saya. Oleh itu, kami akan memakai persalian serba kuning seakan-akan kuning diraja yang ditaja oleh Butik Zaitun pada majlis resepsi kami di Shah Alam,” katanya.

Selain sibuk membuat persiapan kahwinnnya, Aqasha juga sibuk menyiapkan album barunya, Qashanova yang akan keluar pada November ini. Album yang akan memuatkan enam buah lagu kesemuanya itu terdiri daripada lagu-lagu yang berkonsepkan kontemporari pop.