Ternyata bukannya mudah bagi mana-mana pelakon untuk meniru atau melakonkan gaya, tutur bahasa mahupun gerak badan seseorang. Lebih-lebih lagi watak yang dilakonkan itu adalah tokoh yang disayangai mayarakat umum.

Sekiranya tersilap, pelakon terbabit bukan sahaja menjejaskan mutu keseluruhan persembahan, malah mungkin dikecam hebat.

Begitulah yang terpaksa dilalui pelakon popular Erra Fazira apabila diberi tanggungjawab besar untuk memegang watak Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dalam Teater Muzikal, Tun Dr Mahathir terbitan CTRA Production Sdn Bhd.

Erra, ketika ditemui pada majlis sidang media di Istana Budaya berkata, biarpun belum memulakan sesi latihan, tetapi debarannya sudah dirasai sejak hari pertama menerima tawaran tersebut, beberapa bulan lalu.

“Sepanjang karier lakonan saya, watak ini adalah antara yang paling berat yang saya terima. Saya akui ia sukar tetapi, selepas berbincang dengan beberapa pihak termasuk pihak produksi, saya cuba megetepikan tanggapan itu, sebaliknya menganggap ia sebagai suatu cabaran.

“Ia melibatkan tokoh ternama yang disanjung ramai, jadi saya rasa sesiapa sahaja yang menerimanya pun akan turut rasa apa yang saya rasa. Cabaran ini terasa lebih-lebih lagi watak tokoh yang dilakonkan itu masih hidup dan beliau akan datang menyaksikan sendiri teater ini. Jadi lakonan saya seharusnya tidak boleh melebihi dari watak sebenar.

“Untuk membuat persedian, saya akan cuba mengenali peribadi Tun Dr Siti Hasmah dengan lebih dekat lagi. Saya pernah aberjumpanya dengannya untuk mengorek cerita-cerita peribadinya. Dia memberikan respon yang cukup baik.

“Sedikit sebanyak mengenai Tun. Dia seorang yang bersifat keibuan, lemah lembut dan hanya memakai baju kebaya dan baju kurung sepanjang masa, tidak kira dalam majlis apa sekalipun. Dia adalah orang Kuala Lumpur dan dalam percakapannya banyak menggunakan Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu.

“Ini adalah tawaran teater kedua dalam teater selepas menjayakan teater Selendang Umi, kira-kira 10 tahun lalu. Setidak-tidaknya saya mempunyai pengalaman untuk digunakan nanti,’ kata Erra.

Manakala watak mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, dipertanggungjawabkan kepada 3 pelakon mengikut 3 fasa kehidupan, iaitu Esma Daniel, ketika zaman Tun Mahthir berumahtangga, Zizan Nin (zaman bujang) serta finalis program Idola Kecil 2008, Mohd Shafeiq Shazwan pada zaman kanak-kanak.

Teater yang menggunapakai khidmat dari Rosminah Mohd Tahir (pangarah), Ismail Kassan (penulis skirp) dan Pak Ngah (komposer muzik) ini bakal menemui penonton di Panggung Sari, Istana Budaya pada 24 September hingga 4 Oktober 2010.

Antara pelakon lain yang akan membarisi teater muzikal ini ialah Datuk Jalaluddin Hassan (Mr Mohamad), Erma Fatima (ibu kepada Tun Mahathir iaitu Wan Tempawan), Ako Mustapha ( Zahir), Zaibo ( Pak Mat) dan Misha Omar (Datuk Rosnah Majid).