Sejak awal tahun ini, GUA sering saja terdengar cakap-cakap nakal kononnya Misha Omar sudahpun menamatkan zaman bujangnya. Meskipun setiap kali pelantun lagu popular “Cinta Adam & Hawa” itu tampil menafikan khabar angin tersebut, selepas seketika, cerita itu timbul semula.

Seakan mengiyakan kebenaran berita tersebut, pernah seorang pembaca Pancaindera, akhbar sisipan Utusan Malaysia, meluahkan rasa tidak puas hatinya apabila melihat akhbar itu sebagai sengaja tidak menyiarkan berita perkahwinan Misha. Padahal, menurut pembaca berkenaan, cerita perkahwinan Misha dengan seorang ahli perniagaan terkenal di Kota Bahru yang digelarnya sebagai Kiss, sudah rancak diperbualkan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Terbaru, cerita kahwin Misha mendapat satu ‘twist’ yang menarik. Kononnya, bukan saja Misha sudah sah berkahwin tetapi dia merupakan isteri ketiga kepada seorang jutawan.

Nampaknya, semakin menjadi-jadi kisah kahwin Misha ini. Tetapi sehingga cerita itu dikeluarkan dari mulut tuan punya badan, sukar untuk mempercayai semua khabar angin yang berterbangan ini. Kebetulan membuat liputan sidang media ‘Muzikal Uda dan Dara’ petang tadi, GUA beserta para media lain tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan komen daripada ibu angkat Muhammad Adam Emie, tiga tahun, ini.

“Terpulanglah. Kalau nak percaya cerita itu, percayalah. Tapi ia sama sekali tidak benar,” katanya terus-terang. “Tapi saya pun pelik. Walau macam mana saya nafikan, cerita tu asyik diungkitkan. Saya pun tak reti nak jawab dah. Dari awal saya jadi penyanyi, saya dituduh kononnya janda.

“Sebagai seorang perempuan, saya tahu hak saya sebagai seorang isteri dan wanita. Jika ada yang masih tak percaya, pergi saja ke pejabat agama dan periksa sama ada betul ke tidak saya ni dah kahwin. Saya taklah bodoh untuk berkahwin dan sorokkan benda yang baik.”

Jadi setakat ini, bagaimana perhubungan Misha dengan Uda pilihannya? Jika ada yang masih ingat, sebelum ini Misha pernah berkongsi perancangannya untuk mendirikan rumahtangga pada tahun ini. Tetapi hasratnya itu terpaksa ditundakan kerana kesibukan kerja.

Jawab pemilik nama penuh Samiha @ Aisah bt Omar itu, “Saya taknak cerita pasal ni (kisah peribadi). Azam baru saya sejak mula bergiat di dalam teater, sejak saya mula mengenali diri saya dengan lebih mendalam, lebih indah bila sesuatu berita itu disertakan dengan bukti dan cukup syarat. Sebenarnya, saya tak mahu bercakap banyak tentang perkara peribadi saya. Sebab bila tak jadi, siapa yang akan terasa nanti?”

Ingin jadi seorang seniman
Semua sedia maklum, Dato’ Rahim Razali akan mementaskan semula karya terkenal Sasterawan Negara, Allahyarham Dato’ (Dr) Usman Awang, ‘Uda dan Dara’. Kali ini di Istana Budaya. Ramai juga mengetahui Misha serta Razali Hussain telah diberi mandat untuk menghidupkan dua watak utama karya ulung allahyarham ini.

Buat anak jati Kelantan yang berusia 28 tahun itu, penglibatannya di dalam ‘Muzikal Uda dan Dara’ – percubaan keduanya dalam pementasan teater selepas ‘Gamat’ – membuatkannya terjatuh cinta dengan dunia teater. Jelasnya, teater merupakan medan untuk seseorang itu mengenali dirinya serta dunia sebenar.

“Memang saya jatuh cinta (dengan teater). Di sini saya dapat meneroka dunia yang berbeza dan nyata. InsyaAllah, saya melihatnya sebagai satu medan yang baik untuk kita sedarkan diri kita.

“Sebelum ini sebagai seorang penyanyi, hidup saya mewah tetapi seperti yang kita dengar ketika sidang media tadi, sukar bagi produksi teater untuk mencari penaja. Di dalam teater juga, kita harus lepaskan ego kita, diri kita dan kesemuanya, dan tumpukan pada latihan.”

Tambahnya, sepertimana penonton dipersembahkan kepada satu sisi Misha Omar yang tidak pernah mereka jangkakan di dalam ‘Gamat’, begitulah yang diharapkan Misha untuk wataknya sebagai Dara.

“Di dalam ‘Muzikal Uda dan Dara’, mereka tidak akan nampak ‘brand’ Misha Omar. Jika penonton setia teater boleh menerima Vanidah Imran, Umie Aida dan Maya Karin, saya ingin buktikan yang mereka juga boleh terima saya. Saya tidak hanya mempunyai satu sisi saja tetapi banyak cabang.

“Saya ingin menjadi seorang seniman. Baik buruk saya, saya tunjukkan. Dalam lapan tahun penglibatan saya di dalam bidang hiburan, saya tak pernah sembunyikan siapa diri saya yang sebenarnya,” ujarnya.