Tesk oleh Razif Rosdi

Foto oleh Bonie Shariff

KUALA LUMPUR, 22 APRIL 2010: Desas-desus yang mengatakan bahawa penyanyi Elyana, 23, terkena buatan orang akibatnya bentuk badannya yang semakin gempal dan berisi bukanlah sesuatu yang baru didengar. Walaupun risau dengan perubahan yang cukup mendadak itu, namun, Elyana, masih tetap berani untuk membuat penampilan di Anugerah Pilihan Pembaca Media Hiburan 2009/2010 (Anugerah PPMH 2009/2010) yang diadakan di Restoran Saloma Bistro, Ampang. petang semalam.

“Sejak kebelakangan ini, saya sering sakit-sakit. Saya selalu sakit dibahagian perut, pinggang dan peha. Setakat ini, saya dah berjumpa doktor untuk mengetahui sakit sebenar saya. Berdasarkan laporan doktor, ia perubahan hormon saja.

“Saya ada juga buat rawatan tradisional. Alhamdulillah, sekarang ni saya dah tak sakit-sakit sangat macam baru-baru saya kena sakit ni. Dulu berat badan saya 51 kg saja. Kini berat badan saya naik sehingga 62 kg. Disebabkan gemuk juga, saya tak berani nak membuat penampilan di depan media untuk mana-mana sesi fotografi. Tapi hari ini, saya dah semakin berani.

“Terus-terang, nak kata selera makan saya bertambah tak ada lah pula. Kekadang saya pelik, saya tak makan 4 hari pun, berat badan saya tak turun. Sekarang ni, saya ada juga pergi gym dan berdiet,” ujarnya.

Tambahnya lagi, fakto kemungkinan badannya semakin berisi di sebabkan penyanyi lagu Kalis Rindu ini baru saja tamat menjadi hos untuk rancangan masakan iaitu Ala Bufet yang direncanakan ditayangkan pada Ramadan depan di RTM.

Pun begitu, ada suara nakal mengatakan Elyana gemuk disebabkan dia sudah semakin bahagia bersama tunang dan bakal menamatkan zaman bujang tidak lama lagi. Benar ke begitu?

“Dulu pun saya bahagia juga. Dulu saya makan banyak pun badan tak naik. Dulu saya pernah makan ubat nak kurus tapi sekarang tidak lagi. Sekarang ni, saya akan cuba kembali ke berat badan asal saya,” katanya.

Bercerita mengenai perancangan untuk berumahtangga, Elyana menafikan perkahwinannya yang bakal dilangsungkan tahun ini ditangguhkan.

“Mana ada tangguh. Saya tetap akan kahwin tahun ini juga. Namun, bila saya dah bersedia betul-betul barulah saya akan umumkan pada semua. Setakat ini, saya dan keluarga masih belum buat persiapan apa-apa. Insya-Allah, saya akan kahwin hujung tahun ini. Nak buat pertengahan tahun takut tak sempat je.

“Saya ni orang Minang. Ada juga terfikir saya nak buat konsep ala-ala Minang. Tapi saya kena kaji dulu selok belok adat orang Minang,” katanya.

Menyentuh mengenai kariernya, Elyana menegaskan tahun ini dia bakal kembali dengan album baru yang masih mengekalkan Aidit Alfian sebagai komposer.

“Tidak lama lagi saya akan masuk semula studio untuk rakaman album terbaru. Saya masih kekalkan abang Aidit dan konsep yang sama. Cuma cara susunan muzik dan lirik akan lebih matang.

“Saya akan kekal dengan album penuh yang mengandungi 10 lagu. Inilah kelebihan FMC. Saya tak pernah rasa salah nak buat full album. Dengan adanya album penuh, peminat akan puas bila membelinya.

“Untuk album ini, saya tak ada buat lagu atau lirik sendiri. Memang saya teringin juga buat lagu sendiri. Saya ada 2 lagu sendiri tapi saya malu nak dengarkan pada abang Aidit. Saya ni tak pandai main alat muzik jadi saya hanya humming sajalah untuk lagu ciptaan saya sendiri.

“Buat sementara waktu ini, biarlah saya simpan dulu lagu tersebut. Bila dah bersedia nanti saya akan buat lagu sendiri,” jelasnya.

Tentang dunia lakonan pula, Elyana menegaskan akan berhenti berlakon seketika dan mahu fokus pada bidang nyanyian semula. Elyana turut menjelaskan disebabkan terlalu kerap tampil sebagai pelakon, peminat beranggapan dia tidak lagi menyanyi.

“Saya masih lagi menyanyi dan mengambil show walaupun saya sibuk berlakon. Dalam hati saya sebenarnya bukannya nak berlakon sangat. Lakonan hanya mengisi masa lapang. Saya tak nafikan pulangan nyanyian lebih lumayan berbanding lakonan.

“Setakat ni, saya tak ambil mana-mana tawaran berlakon. Kalau ambil pun saya hanya akan ambil telemovie saja. Saya berlakon hanya mahukan pengalaman saja,” katanya.