Selang beberapa minggu ini, Murai Batu asyik ditanya bagaimanakah rupanya awek juara Akademi Fantasia 7 (AF7), Hafiz Suip yang sedang popular dengan lagu Noktah Cinta.

Sebelum ini, Murai Batu pernah diberi bayangan bahawa nama wanita di hati Hafiz bermula dengan pangkal F. Akhirnya, Murai Batu dapat tahu bahawa nama kekasih Hafiz adalah Fifi Azman.

Selain mendapat tahu nama, Murai Batu juga dikirimkan beberapa keping foto mesra Hafiz bersama Fifi dibeberapa majlis yang melibatkan Hafiz dengan kelab peminat.

Walaupun sebelum ini, Murai Batu diberitahu Fifi merupakan ahli kelab peminat Hafiz tetapi sebenarnya dia ada;lah seorang bakat baru dalam bidang modeling serta lakonan.

Malah, dia pernah terlibat dengan penggambaran drama popular lakonan Scha Al-Yahya, Awan Dania. Hai, kalau macam itu, kenapalah Hafiz tidak mengundang Fifi berlakon dalam video muzik Noktah Cinta. Kan lebih ummph!

Nampaknya, rahsia wajah Fifi telah terjawab dan Murai Batu harap selepas ini ramai peminat Hafiz yang akan lega dan puas hati.

Yang penting, Murai Batu diberitahu Fifi juga sudah cukup mesra dengan keluarga Hafiz. Pokoknya direstui percintaan mereka oleh kedua belah pihak.

Adakah selepas ini Hafiz akan bertunang? Kalau boleh Murai Batu harap Hafiz perjuangkan dulu kariernya yang baru nak bermula. Nak bercinta boleh tapi janganlah sampai nyanyian terabai. Pandai-pandailah seimbangkan karier, cinta dan keluarga dik oii.