Tanggal 7 Februari ini, pengacara dan penyampai radio popular Fara Fauzana akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-30. Dalam usia yang masih muda, heroin filem ‘Jin Notti’ ini telah meraih pelbagai kejayaan dalam kariernya. Fara pernah dinobatkan sebagai Pengacara TV Paling Popular 2005 dan 2006 serta meraih anugerah Penyampai Radio Wanita Popular 2007 dan 2008 dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Tahun ini dia sekali lagi tersenarai sebagai calon Top 5 untuk kategori yang sama.

Sebagai pembuka tirai 2010, Fara bakal muncul pula dengan rancangan terbaru berjudul ‘Alahai Fafau’. Rancangan yang bakal disiarkan di TV9 ini cukup istimewa kerana ia akan ditayangkan pada tarikh yang sama dengan ulang tahun kelahirannya.

Bercerita kepada media selepas majlis pelancaran rancangan terbaru itu, Fara memberitahu yang dia sungguh bersyukur kerana akhirnya dia mempunyai rancangan sendiri. Bagi Fara, ini adalah hadiah harijadi yang cukup istimewa.

“Apa yang saya harapkan selama ini akhirnya tercapai. Sebagai seorang pengacara, saya memang sudah lama menyimpan niat untuk muncul dengan rancangan sendiri. Akhirnya ia terlaksana ketika umur saya menginjak ke 30 tahun. Terima kasih saya ucapkan kepada TV9 kerana merealisasikan impian saya ini.

“Saya cukup puas hati dengan rancangan ini kerana selain daripada mengikut format yang ditetapkan, saya juga boleh berkongsi idea dengan mereka. Ini bukan rancangan bual bicara tetapi ia adalah sebuah rancangan yang memaparkan aktiviti Fara bersama rakan-rakan, peminat dan orang-orang yang berada di sekeliling Fara,” ujar Fara teruja.

Ditanya apakah segmen yang paling digemari, Fara memberitahu dia paling suka dengan segmen ‘Misi Fara’. Ini kerana melalui segmen ini, Fara berpeluang menjadi orang lain.

“Melalui segmen ini saya berpeluang melakukan perkara yang belum pernah Fara buat. Dengan kata lain, Fara menjadi orang lain. Antara misi yang perlu saya sempurnakan ialah menjaga kucing, haiwan yang paling saya tidak suka dan masuk ke Penjara Kajang. Kalau hendak tahu apa misi saya di penjara, jangan lupa saksikan rancangan itu nanti.

“Pengalaman masuk ke penjara itu memang sesuatu yang tidak boleh saya lupakan. Tetapi saya memang tidak sangka, rupa-rupanya banduan-banduan di penjara mengenali saya dan mereka melayan saya dengan baik sepanjang tempoh menggambaran itu,” cerita Fara lagi.

Jadi, kepada peminat setia Fara di luar sana, jangan lupa saksikan rancangan terbaru terbitan TV9 ini. Banyak yang boleh anda saksikan dan yang paling penting, ia memberi peluang untuk anda mengenali Fara secara dekat.

‘Alahai Fafau’ memaparkan elemen komedi dan kemasyarakatan sambil menampilkan selebriti dan ahli muzik tanah air. Sesuai dengan perwatakan Fara yang ceria dan lucu, rancangan santai berbentuk temubual ini tertumpu kepada perkara-perkara yang menjadi minat Fara. Rancangan 13 episod ini terbahagi kepada tiga segmen berbeza iaitu Misi Fara, Fara & Friends, Fara Fan Club dan Fakta Fara.

Ingin Cepat Kahwin
Memandangkan umurnya sudah mencecah 30 tahun, Fara sudah pun mula terfikir untuk mendirikan rumahtangga. Mungkinkah Fara sudah mempunyai ‘buah hati’ dan hanya menunggu masa untuk mengumumkan tarikh perkahwinan?

“Eh! tidaklah. Saya masih belum mempunyai calon. Tetapi saya memang sudah terfikir untuk berkahwin. Kalau boleh saya mahu cepat ‘settle down’. Ikut perancangan, dalam masa lima tahun lagi saya ingin berada di belakang tabir pula. Mungkin ada orang berpendapat ia terlalu awal, tetapi saya memang jenis yang suka melakukan sesuatu perkara dengan cepat. Saya tidak suka bertangguh-tangguh,” jelas Fara tanpa berselindung.