Jika anda perasan, kisah percintaan Nabil Raja Lawak dan Irma Hasmie sekarang ini sering menjadi bualan ramai. Bukan kerana pasangan ini mengumumkan mereka ingin berkahwin, sebaliknya perpisahan mereka yang menjadi isu utama.

Bagaimanapun, baik Nabil mahu pun Irma, masing-masing menafikan perkara ini. Setelah isu ini senyap seketika, tiba-tiba hari ini ada sumber yang memberitahu GUA bahawa pasangan ini akhirnya telah berpisah. Bagi memastikan kebenaran khabar ini, GUA telah menghubungi Nabil bagi mendapatkan kenyataan daripada mulutnya sendiri.

Ternyata berita ini tidak begitu menggembirakan Nabil. Menurut hero filem ‘Lu Pikirlah Sendiri de Movie’ ini, hubungannya dengan Irma masih baik. Jauh sekali sudah berpisah.

“Saya pun tidak faham kenapa sehingga kini masih ada orang yang cuba menyampaikan berita yang tidak betul ini. Saya dan Irma masih bersama. Malah, saya baru sahaja meraikan ulangtahun Irma pada 8 Januari lalu di Red Box, Pavilion. Sebagai tanda cinta saya kepada Irma, saya telah hadiahkan Irma seutas rantai emas putih,” jelas Nabil kepada GUA.

Dengan gosip yang tidak henti-henti melanda, ada yang berpendapat perkahwinan adalah jalan terbaik untuk Nabil menamatkan segala spekulasi. Bagaimanapun, pendapat ini disangkal oleh Nabil.

“Memang saya dan Irma telah merancang untuk berkahwin, tetapi bukan dalam masa terdekat ini. Masih banyak perkara yang perlu saya dan Irma selesaikan terlebih dahulu. Biarlah apa orang hendak kata asalkan kami masih bersama. Tahun 2010 ini saya mahu mulakan bisnes sendiri dahulu. Saya mahu buka kedai menjual barangan dan aksesori motor. Apabila hasrat ini telah tercapai, barulah saya akan fikirkan soal perkahwinan.

“Irma juga tahu tentang perancangan saya ini dan dia tidak mempunyai masalah dengannya. Lagipun Irma punya ‘target’ hendak kahwin paling lewat umur 30 tahun. Sekarang ini umur dia baru 28 tahun. Kiranya kami ada masa dua tahun lagilah. Tetapi, saya tidak menolak kemungkinan akan berkahwin awal. Mungkin hujung tahun ini. Semuanya bergantung kepada keadaan,” jelas Nabil lagi.

Sibuk berlakon
Bercerita tentang karier lakonannya pula, Nabil akan muncul dengan filem terbarunya, ‘Lu Pikirlah Sendiri de Movie’ yang akan ditayangkan di pawagam bermula 11 Februari depan. Memegang watak yang sama dengan namanya, Nabil, dia merupakan hero untuk filem arahan Aminah Rhapor ini.

Menurutnya, untuk filem ini dia menghadapi sedikit kesukaran dalam menghayati watak Nabil. Ini kerana filem itu memerlukan dia bermain dengan pelbagai emosi, bukan setakat melawak.

“Ini merupakan filem pertama yang ditawarkan kepada saya. Tetapi penggambarannya hanya bermula selepas selesai penggambaran ‘Sifu dan Tonga’. Walaupun saya membawakan watak sendiri, tetapi bukan mudah untuk saya menghayati watak ini.

“Saya juga perlu beraksi serius sebab ia bukan filem lawak seratus-peratus. Paling susah hendak berlagak sedih. Rasa macam bukan diri saya. Maklumlah, saya ini selalu bergelak ketawa saja,” seloroh Nabil yang ketika ini berada di Batu Pahat, Johor bagi menjalani penggambaran ‘Nabil & Co’ yang akan bersiaran di TV9.

Selain itu, sedikit masa lagi Nabil akan memulakan penggambaran filem terbaru berjudul ‘Bangladesh’. Dia akan memegang watak utama untuk filem terbitan KRU Films Sdn Bhd ini.