Teks oleh Thani Hasbullah KUALA LUMPUR, 28 DISEMBER 2009: Semuanya telah terjadi. Lalu apa yang boleh pelakon serta pengacara, Awal Ashaari dan Scha Al Yahya katakan adalah mereka memang menyesal mengunjungi pusat hiburan, Rootz Dance Club, di Lot 10, Jalan Bukit Bintang, pada malam Krismas lalu apabila ia berakhir dengan babak serbuan oleh pihak polis.

Namun yang jelas, kedua-dua mereka menafikan dengan tegas bahawa mereka mengambil sebarang dadah mahupun meneguk minuman keras.

Kekesalan Awal dan Scha itu diluahkan dalam sidang media selepas selesai pertandingan akhir Sehati Berdansa 3 (SB3) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Sabtu lalu.

“Saya tahu saya telah silap apabila mengunjungi pusat hiburan terbabit. Sebenarnya, saya mendapat panggilan telefon dari kawan baik saya, dari Melbourne, Stephanie yang mengundang saya meraikan majlis ulang tahunnya di sebuah bar, bagaimanpun bar itu telah tutup dan saya pun bertukar arah kepada pusat hiburan itu (Rootz Dance Club)) yang terletak bersebelahan.

“Saya ke sana sebaik selesai penggambaran Awan Dania tamat. Tidak sampai setengah jam berada di dalam kelab itu, polis membuat serbuan Saya tidak membantah, malah mengikut arahan polis yang menyuruh saya menyerahkan sampel air kencing dan keputusannya negatif.

“Saya tidak ambil dadah atau mabuk. Tak mungkin saya ambil itu semua apatah lagi pada masa sama, saya kurang sihat kerana demam viral dan perlu mengambil antibiotik. Lagipun, sejak akhir-akhir ini saya akui, berada di dalam keadaan tertekan kerana terlalu banyak perkara yang berlaku ke atas saya yang membuatkan kesihatan terganggu,” jelas Scha.

Awal pula berkata, telah berlaku salah laporan dalam internet mengatakan dia enggan bekerjasama kepada pihak polis apabila tidak mahu menyerahkan sampel air kencingnya.

“Sebenarnya ada berlaku kesilapan fakta dalam laporan yang disiarkan itu. Apa yang sebenarnya berlaku, selepas diminta oleh pihak polis, saya cuba berkali-kali untuk mengeluarkan air kencing, tetapi tidak berjaya. Mungkin masa itu saya dalam keadaan kelam kabut dan kebetulan sudah kencing beberapa kali sebelumnya.

“Polis memberi pilihan jika saya tidak boleh kencing, saya mesti dibawa ke IPK. Saya bersetuju untuk mengikut mereka ke IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Kuala Lumpur. Selepas minum 3 botol air mineral, barulah saya boleh kencing semula.

“Apa yang saya dapati pihak polis telah memberi layanan yang baik kepada saya. Malah, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Superitendan Sharifah Hawariah Syed Idrus, juga meminta maaf kepada saya kerana terpaksa membawa saya ke IPK Kuala Lumpur.

“Selepas ujian air kencingnya didapati negatif kira-kira pukul 9 pagi, saya sudah boleh beredar dari situ (IPK) tapi saya yang minta untuk berada di situ buat sementara waktu kerana ramai pihak media sedang menunggu di luar. Kemudian, saya tertidur di situ sehinggalah pukul 11 pagi. Pada pukul 11.30 pagi baru pengurus saya datang mengambil saya.

“Yang jelas sekarang, saya tidak pernah terbabit dengan dadah. Saya juga tidak akan dan tidak pernah terfikir mengambil dadah seumur hidup saya,” kata Awal bersungguh-sungguh. – http://www.murai.com.my