KUALA LUMPUR, 4 DISEMBER 2009: Meskipun pendedahan Eja atau Siti Shahrizah Saifuddin, 37, yang sudah berumahtangga bersama Mohd Silahuddin Jamaluddin, 40, secara senyap-senyap lebih 10 tahun lalu bukanlah cerita baru, namun Eja akui telah bersikap mementingkan diri selama tempoh itu.

Kata Eja, kalau bukan kerana kelahiran Nur Eishal yang kini sudah masuk 3 bulan, mungkin sehingga hari inipun dia akan kekal bersikap demikian kerana lebih mementingkan kerjayanya sebagai pelakon sepanjang 7 hari seminggu.

Jadi, pelakon berperwatakan lembut ini percaya, kelahiran Nur Eishal ke dunia ini telah memberi sinar baru dalam hidupnya dan juga suami. Kata Eja, nikmat menjadi seorang ibu memanglah tidak terkata.

“Sebenarnya memang ada pihak wartawan yang sudah tahu Eja telah lama berkahwin tetapi mereka tidak pernah memperbesar-besarkan perkara itu. Tapi ada pihak yang hairan kenapa Eja tidak mahu hamil. Ada yang cakap Eja takut gemuk atau saham jatuh.

“Semua itu bukanlah jawapannya. Eja sebenarnya belum sedia untuk memikul tanggungjawab sebagai ibu kerana kalau sudah mempunyai anak, kerjaya Eja akan tidak lancar. Itulah sikap pentingkan diri sendiri yang Eja maksudkan.

“Terus terang, Eja sebenarnya seorang yang degil. Apa yang Eja pentingkan masa itu hanyalah kerja dan serba- sebi hanyalah tentang Eja saja. Mujurlah Sila (panggilan mesra buat suami) sangat penyabar. Akhirnya Tuhan telah mengurniakan juga Nur Eishal kepada kami,” kata Eja ketika majlis memperkenalkan bayinya itu secara rasmi di Hotel Crowne Plaza Mutiara, petang semalam.

Katanya, Nur Eishal yang membawa maksud Cahaya Bunga Syurga telah selamat dilahirkan 3 minggu lebih awal di Hospital Pakar Damansara pada 3 September lalu, jam 1.36 petang. Melalui perkahwinan terdahulu, Sila mempunyai 2 anak, Khatijah, 17, dan Shane Jacob, 13.

Kata Eja, hatinya mula berdetik rasa sunyi ketika menjalani penggambaran drama arahan Erma Fatima di Kota Makkah pada Oktober tahun lalu. Pada masa yang sama sempat dia menunaikan umrah sebanyak 2 kali.

Saat itu Eja merasakan sudah tiba masa untuk dia menjadi seorang ibu, lantas memohon doa dan petunjuk dari Tuhan supaya dikurniakan anak. Bagaimanapun hasrat itu hanya dipendamkan di dalam hati.

Namun perasaan yang meluap-luap itu akhirnya didedahkan juga kepada suaminya apabila mereka melancong ke Amerika Syarikat tidak lama selepas itu.

“Balik dari bercuti, Eja dah rasa lain. Selera Eja mula pindah kepada makanan Barat seperti pasta, kepak ayam, burger dan aiskrim. Eja dan suami terus membuat pemeriksaan doktor dan alangkah gembiranya apabila doktor mengesahkan Eja mengandung. Lalu Sila terus memeluk Eja tidak putus-putus,” ujarnya yang mengenakan fesyen rekaan Khoon Hooi, semalam.

Eja berkata, hidupnya kini telah berubah 360 darjah. Sedari awal kelahiran Nur Eishal sehinggalah kini, dia langsung tidak boleh renggang dari pengarang jantungnya itu. Malah tidak keterlaluan kata Eja, dia kini banyak melebihkan Nur Eishal berbanding suami!

“Sekarang baru Eja tahu bagaimana nikmat menjadi seorang ibu. Terus terang, Eja mahu elakkan Nur Eishal menceburi bidang lakonan. Malah kalau boleh, biarlah dia menjadi angkasawan wanita pertama di Malaysia!

“Tapi Eja tak berani cakap apa-apa sebab semuanya masih awal lagi. Tapi kalau bidang seni sudah kemahuannya, Eja pun tak boleh halang asalkan utamakan pelajaran,” kata Eja dengan wajah yang sangat bahagia.