10132009_idasuami(a)KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2009: Khabar angin kini bertiup kencang mengatakan pelakon terkenal Ida Nerina Hussain, 45, telah bercerai dengan suaminya, Sha’arin Mohammed Razali, bekas pemuzik kumpulan Blackrose, pada awal Syawal lalu.

Ketika dihubungi portal murai.com.my, petang tadi, Sha’arin nyata terdiam seketika dan akui sukar untuk beliau memberikan penjelasan sebenar tentang gosip mahupun spekulasi berkenaan, sebaliknya meminta pihak media bertanyakan sendiri soalan itu kepada Ida.

“Saya rasa ada baiknya anda tanya Ida sendiri tentang hal ini. Sebabnya, saya sendiri tidak tahu hendak cakap macam mana,” katanya.

Hari ini, gosip telah tersebar dalam dunia hiburan mengatakan Sha’arin telah memfailkan penceraian mereka minggu lalu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Mereka berdua telah diijabkabulkan sebagai suami isteri pada 21 Jun 2006.

Meskipun belum dikurniakan cahayamata sejak 3 tahun berumahtangga bersama Ida, Sha’arin telah mempunyai 2 sepasang anak hasil daripada perkahwinan pertamanya dulu.

Sha’arin berkata, dia tidak berhak untuk bertindak sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak yang menyebarkan gosip tentang penceraian mereka seperti yang berlaku sekarang.

“Saya cuma buat tak tahu saja. Hakikat ini kerana sejak sebelum kami berkahwin sehinggalah sekarang, sudah banyak cerita kurang enak dilemparkan kepada kami. Susah untuk saya komen semua perkara itu. Biarlah masa menentukan,” katanya.

Ditanya keadaan Ida ketika ini setelah cedera teruk di bahagian tulang belakang akibat terjatuh di rumah mereka pada 21 Jun lalu, Sha’arin berkata, Ida masih dalam tempoh pemulihan dan memerlukan bantuan kerusi roda.

Khabarnya, kontroversi penceraian antara Ida dan Sha’arin itu telah tercetus selepas mereka sering berbalah hingga menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk berpisah. Ida sebelum ini pernah terbabit sebagai tenaga pengajar bagi program realiti TV, Akademi Fantasia 7 (AF7).

Portal murai.com.my cuba menghubungi Ida untuk mendapatkan kepastian tetapi telefonnya tidak berjawab.

Pada 21 Jun lalu, Ida telah menjalani rawatan membetulkan tulang belakangnya di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas terjatuh di rumahnya. Kemalangan itu terjadi kira-kira jam 3 pagi ketika menaiki tangga di ruang tamu dalam rumahnya yang terletak di Persiaran Syed Putra di sini.