982009_ejahamil(a)KUALA LUMPUR, 8 SEPTEMBER 2009: Ramadan yang mulia ini membawa sinar dan nikmat yang tidak terhingga buat pelakon terkenal Eja apabila selamat melahirkan bayi perempuan sulungnya, Khamis lalu.

Namun bayi yang masih belum bernama itu, kini dimasukkan semula ke Hospital Pakar Damansara sejak semalam kerana menghidap demam kuning atau jaundis, penyakit yang biasa menyerang bayi ketika dilahirkan.

Eja ketika dihubungi murai.com.my berkata, keadaan diri dan bayinya yang seberat 2.69 kilogram itu stabil cuma demi mendapat lebih rawatan yang sempurna, bayinya dibawa semula ke hospital terbabit selepas pulang 3 hari lepas.

“Eja amat bersyukur selamat bersalin dan kesian tengok anak Eja itu yang tdiak meragam,” katanya.

Eja berkata, kelahiran bayi itu amat dinanti-nantikan oleh dirinya dan suami, Mohd Silahuddin, 40, selepas 10 tahun mereka mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun pelakon Wadi Unung dan Seputih Qaseh Ramadan berkata anaknya dilahirkan 3 minggu lebih awal daripada waktu jangkaan doktor menyebabkan dia belum sempat membuat persediaan rapi.

“Inilah kehidupan baru Eja. Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Walaupun penat, tak cukup tidur dan masih belum kuat, Eja tetap gembira dan bersyukur dengan kelahiran ini,” katanya yang mahukan 2 anak lagi

Eja, suami ada 3 nama pilihan

Bercerita pula tentang nama yang bakal diberikan kepada bayinya, Eja berkata dia dan suami sudah menyediakan 3 pilihan nama yang hanya akan ditentukan pada tarikh pendaftarannya dalam waktu terdekat.

Sekali lagi Eja mengatakan, kelahiran bayi berkenaan pada tarikh yang lebih awal menyebabkan dia dan suami masih belum sempat memutuskan nama terbaik untuknya.

“Dari sudut nama, Eja bersikap teliti. Bukan hendakkan nama komersial tapi nama yang membawa maksud baik dan sedap disebut. Eja, dia lebih senang membahasakan diri sebagai Umi, manakala Sila pula Daddy. Memang nama Daddy sudah biasa dipanggil oleh 2 anak kami (hasil perkahwinan Sila yang lalu).

Tidak berniat sorok bayi daripada wartawan

Sementara itu, Eja menafikan dakwaan bahawa dia cuba menyorokkan bayi berkenaan daripada perhatian pihak media massa yang tidak henti membuat permintaan untuk merakamkan wajah bayinya itu kepada khalayak.

Jelas Eja yang akan kembali berlakon pada November nanti, hakikat sebenar dia dan bayinya belum sihat sepenuhnya.

“Kebetulan Eja dan Sila tengah tengah sibuk menyiapkan rumah baru kami di Mount Kiara yang sudah sampai peringkat akhir pembinaannya. Insya-Allah apabila segala-galanya dan kembali OK, Eja akan jemput wartawan untuk melihat bayi kami. Eja tidak pernah terlintas hendak beri gambar eksklusif kepada sesiapa pun,” katanya.