anang_nop_01JAKARTA, 2 SEPTEMBER 2009: Diva Pop Indonesia, Krisdayanti, 34 ,(KD) disahkan bercerai dengan suaminya, Anang Hermansyah, 40, setelah mendirikan rumah tangga selama 13 tahun. Anang dilaporkan melafazkan talak 3 kepada Krisdayanti kerana kecewa dengan kemelut yang melanda perkahwinan mereka.

Menerusi sidang media tergempar yang dibuat penyanyi itu di kediamannya di Radio Dalam, Jakarta, malam tadi, Krisdayanti berkata, keputusan penceraian itu dibuat secara aman antara dia dan Anang.

Seperti yang dipetik dari beberapa laman web hiburan Indonesia, Krisdayanti berkata penceraian itu adalah langkah terbaik buat hubungan mereka berdua yang kebelakangan ini dilanda badai dan tidak dapat diselamatkan lagi.

“Saya sihat, tenang dan sedar dengan tindakan saya ini. Tiada paksaan daripada sesiapa pun,” katanya sambil dahinya berkerut dan kelopak matanya dipenuhi rekahan kaca air mata.

“Kami bersepakat untuk mengkahiri ikatan suami isteri tahun ini. Kami juga bersepakat agar perpisahan tali pernikahan ini tidak akan menyalahkan atau memalukan sesiapa,” katanya dengan penuh redha di hadapan pihak media.

Krisdayanti menambah, dia mengaku rumah tangga yang dibina bersama Anang sejak sekian lama telah mengalami masalah selepas buku biografi peribadinya bertajuk My Secret My Life diedarkan kepada khalayak.

Bagaimanapun dia menafikan, penceraian itu berpuncanya daripada orang ketiga sebagaimana aduan anak perempuan mereka diberitahu dulu.

“Banyak kenangan manis kami berdua yang teramat berat untuk dilupakan. Dalam kesempatan ini saya hanya ingin yang terbaik. Somoga saya dapat meneruskan kehidupan pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, penyanyi Mencintaimu itu berkata, kes penceraian mereka berdua hanya akan difailkan seminggu selepas Aidilfitri bagi menghormati bulan puasa yang mulia ini.

Difahamkam Anang sudah melafazkan cerai Krisdayanti 3 hari sebelum umat Islam menyambut Ramadan. Sebelum ini Anang dikatakan nekad menceraikan Krisdayanti kerana mendakwa dia telah curang dengan seorang lelaki yang dikatakan seorang usahawan dari Timor Leste.

Sebelum ini, Krisdayanti yang juga adik kepada penyanyi Yuni Shara juga pernah digosipkan dengan gitaris Tohpati serta Dicky Wahyudi.

Hak penjagaan anak diberi kepada Anang

Dalam perkembangan yang sama, Krisdayanti merelakan hak penjagaan 2 anaknya, Titania Aurelie Hermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah diberikan kepada Anang, meskipun cukup berat hatinya untuk merelakan.

Sekali lagi Krisdayanti menganggap, keputusan berkenaan adalah terbaik buatnya dan mereka sekeluarga. Malah jauh sekali untuknya berungut demi memastikan kebahagiaan masa depan kedua cahaya matanya itu.

“Sejak sebulan kebelakangan ini, Anang tidak mengizinkan saya bertemu anak kami. Malah saya juga sukar untuk bertemu mereka berdua, walaupun jarak tempat tinggal kami sangat dekat.

‘Tiada alasan yang diberikan Anang mengapa saya tidak dibenarkan bertemu anak-anak. Mungkin juga kerana Anang tiada alasan yang kukuh, padahal dia tahu hak penjagaan telah diberikan sepenuhnya kepada dia,” katanya.

Krisdayanti berkata, dia amat berharap supaya Anang dapat memberinya kesempatan dan waktu untuk bersua muka dengan anaknya kelak.