632009_kembarziana(a)KUALA LUMPUR, 23 JULAI 2009: Dengan tempoh 3 minggu lebih awal, penyanyi dan pelakon terkenal, Ziana Zain, 41, telah selamat melahirkan sepasang bayi kembar lelaki dan perempuan, di sebuah hospital swasta di Shah Alam, di sini kira-kira jam 10 pagi tadi.

Berita menggembirakan ini telah disahkan pengurus Ziana, Liza Aryanti Tahir, kepada murai.com.my sebentar tadi.

Katanya, penyanyi Lembah Asmara itu yang masih belum sedar ketika ini, melahirkan bayi lelaki seberat 2.1 kilogram, diikuti pula bayi perempuan (1.7 kg) yang masing-masing dalam keadaan sihat tanpa mengalami sebarang komplikasi ketika kelahiran.

“Syukurlah semuanya telah selamat. Kedua-dua bayi kembar Ziana itu dilahirkan secara pembedahan kerana tekanan darah Ziana tidak menentu. Ziana sepatutnya melahirkan anaknya pada pertengahan Ogos depan, bagaimanapun telah dimasukkan hospital lebih awal sekitar jam 8 malam semalam kerana telah mula sakit-sakit.

“Sekarang Ziana masih tidur dan akan pulang ke rumah dalam masa terdekat. Apa yang boleh saya katakan di sini, bayinya sangat comel tetapi masih belum diberikan nama,” kata Lisa dengan gembira.

Lisa berkata, Ziana kini ditemani suami tercinta, Armin Zaharin yang turut bersyukur kerana bayi kembar mereka itu telah dilahirkan pada tarikh yang sama iaitu 1 Syaaban seperti mana anak kedua mereka, Muhammad Ammar.

Bagaimanapun Lisa berkata, buat masa ini Ziana masih belum bersedia menerima sebarang pelawat terutama pihak media dan akan hanya menunjukkan wajah bayi kembarnya itu pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Ini adalah anak Ziana & Armin selepas Muhammad Aiman, 8, dan Muhammad Ammar, 5, selepas mereka mendirikan rumah tangga sejak 9 Mei 1998.