7112009_airit

KL 11 JULAI 2009: Kelahiran seseorang bayi tentunya membawa rahmat bagi sesebuah keluarga. Murai Batu percaya dengan lahirnya bayi comel bernama Airit Rayyan Rizqin, ia menyemarakkan lagi kasih sayang antara pelakon Rita Rudaini dan suaminya, pemain bola sepak, Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak.

Bukan itu sahaja, kelahiran yang paling ditunggu-tunggu itu juga diyakini mengeratkan semula hubungan Rita dengan keluarga Aidil yang sebelum ini pernah dilaporkan tegang selepas mereka berkahwin secara rahsia di Selatan Thailand.

Sejuk hati Murai Batu apabila mengetahui ayah dan ibu mertua Rita, Azizah Arshat, 57, dan Abd. Radzak Salleh, 60, turut datang melawat cucu mereka di Pusat Perubatan Prince Court di sini. Ibu Rita sendiri, Basriah Ibrahim, 59, turut berada ada menemani Rita.

Airit Rayyan yang seberat 2.91 kilogram telah selamat dilahirkan secara normal kira-kira jam 1.20 pagi kelmarin, Khamis. Lebih bermakna, Aidil sendiri berada di bilik bersalin untuk melihat saat-saat manis Rita melahirkan anak sulung mereka.

Murai Batu difahamkan, selepas ini, Rita yang juga duta Celcom akan pulang ke kampung halamannya di Kangar, Perlis untuk berehat dan berpantang.

Sebelum ini, perkahwinan mereka secara senyap-senyap itu telah mencetuskan kontroversi apabila Rita dan Aidil membuat pengakuan bahawa mereka telah berkahwin di Songkla, Thailand pada Februari 2008. Kemudian Mahkamah Rendah Syariah di sini memutuskan pernikahan itu sah mengikut syarak dan mempunyai dokumen yang lengkap.

Murai Batu ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Rita dan Aidil dan semoga keluarga mereka bersatu dan dilimpahi rahmat.

MURAI BATU: Menunggu khabar ramai lagi artis yang dijangka bersalin tahun ini. Ada yang bunting pelamin dan ada yang hamil anak kembar. Syukur… syukur….