PETALING JAYA, 23 MEI 2009: Meriahkan bagaikan majlis perkahwinan. Begitulah yang dapat dikatakan majlis cukul jambul dan aqiqah untuk Engku Aleesya – cahaya mata pasangan Erra Fazira Wan Chek dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin yang diadakan di Taman Tun Dr Ismail, petang tadi.

Seperti yang dijanjikan, bayi perempuan yang comel itu diperkenalkan secara rasmi kepada pihak media serta rakan taulan.

Berusia kira-kira 2 bulan, majlis yang sungguh meriah dan beradat diadakan di Restoran Puteri, milik bersama kakak angkat Erra, Puan Habsah Hassan dan Rubiah Suparman.

Kemunculan Aleesya petang tadi dimulai dengan alunan marhaban oleh kumpulan Sautul Ijtihad dalam suasana majlis yang berlatar belakangkan hiasan dekorasi indah bertemakan merah jambu tajaan Lynda Rahim, Kuala Lumpur.

5232009_erradukung3

Aleesya turut disarungkan dengan persalinan comel tajaan Cradle ‘N’ All yang turut menaja buaian, cenderahati dan cupcakes.

Bercakap pada sidang media majlis itu, Erra dan suaminya bersyukur apabila hajat mereka untuk mengadakan majlis cukur jambul serta aqiqah itu telah selamat disempurnakan. Dan bercerita tentang pengalaman bergelar ibu, Erra berkata, dia masih lagi dalam proses menyesuaikan diri.

“Sekarang baru saya tahu, kehidupan bergelar ibu itu bukannya senang. Memang kita tak pernah cukup masa. Tapi apa yang boleh saya katakan, walaupun penat, saya tetap sangat seronok dan puas.

“Bulan pertama dulu kelam kabut juga tapi sekarang saya dah makin biasa. Nasib baiklah ibu saya dan ibu mertua saya banyak membantu kami menjaga Aleesya,” kata Erra yang fizikalnya masih berisi.

Majlis potong jambul itu turut diserikan dengan kehadiran rakan-rakan artis antaranya Umie Aida, Zahida Rafik, Betty Banafe, Sharifah Shahirah, Wan Khatijah, Noniswara, Zaibo dan Zarina Zainuddin.

Bagi Engku Emran pula, kehadiran Aleesya dalam hidup mereka banyak mengajarnya erti kesabaran untuk menjadi seorang ayah.

“Aleesya banyak sedarkan saya supaya menjadi insan yang lebih penyabar dan tidak mementingkan diri. Inilah pengalaman paling berharga yang tak dapat ditukar ganti dengan apa-apa pun. Selepas bergelar ayah, saya cuba membahagikan masa dengan baik. Kalau ada tugas di luar, saya akan cuba sedaya upaya pulang awal ke rumah. Saya tak mahu Aleesya berjauhan daripada kami,” kata Emran.

Tambahan pula kata Emran, dia memang selalu membantu Erra dalam soal penjagaan Aleesya termasuklah menukar lampin dan membancuh susu.

Sementara itu, menjawab soalan pihak media tentang isu foto Aleesya sewaktu mula-mula dilahirkan, telah bocor ke Internet lebih awal, Erra berkata: “Ia di luar kuasa saya dan Emran. Yang penting kami telah mengotakan janji kami kepada pihak media dan peminat di luar sana dengan majlis pada hari ini.”

Mula kembali berlakon 25 Jun 2009

Meskipun masih terlau awal untuk meninggalkan Aleesya, Erra berkata dia perlu akur dengan tanggungjawabnya sebagai selebriti apabila akan kembali aktif dalam bidang seni tidak lama lagi.

Sebagai permulaan, wajah eksklusif Astro ini akan mula menjalani penggambaran sebuah drama arahan Rashid Sibir untuk siaran stesen TV berkenaan, bermula 25 Jun ini.

“Ini adalah tanggungjawab yang perlu Erra laksanakan bersama Astro mengikut perjanjian sebelum ini. Banyak lagi perancangan yang sudahpun disusun oleh pihak Astro untuk Erra tahun ini. Malah album terbaru Erra juga perlu disiapkan tahun ini juga,” katanya.

Erra berkata, sudah lebih 6 bulan dia bercuti dari bidang seni dan ini adalah masa yang terbaik untuknya kembali aktif meskipun terpaksa bijak membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

Erra berkata, demi memastikan bentuk tubuhnya kembali langsing sebelum kembali berlakon, dia akan kembali aktif di gimnasium selain mendapatkan rawatan tubuh daripada produk kecantikan dan pelangsingan badan tajaan SlimWorld.

Katanya, meskipun agak payah untuknya berpisah daripada Aleesya ketika menjalani senaman, namun dia bersyukur apabila suaminya Engku Emran banyak membantunya untuk melunaskan perkara itu.

“Sekarang Erra sudahpun mula menjalani rawatan langsing dan curi-curi masa ke gimnasium. Maklumlah kalau nak tinggalkan Aleesya 2 hingga 3 jam pun bukannya mudah,” katanya.

Mahu hantar Aleesya ke sekolah Cina?

Menyentuh mengenai perancangan pendidikan bayi perempuannya, Engku Emran berkata sebagai ibu bapa, mereka sudahpun menyiapkan tabungan yang sepatutnya bagi menyokong pembiayaan pembelajaran Aleesya di masa depan.

Malah, mereka berdua telah sama-sama membuat penyelidikan mengenai corak pendidikan yang bakal diterima Alessya mengikut peringkat usianya.

“Tentu saja pendidikan sangat penting buat kami. Pada seawal usia 3 tahun, kami bercadang hantarnya ke pra-sekolah. Pendidikan lebih awal ini penting memandangkan persaingan yang sangat hebat pada masa akan datang. Apabila dia memasuki sekolah rendah pula, kami merancang untuk menghantar Aleesya ke sekolah Cina dulu. Kerana pada kami, lebih banyak bahasa yang dapat dikuasai Aleesya adalah lebih baik.

“Kemudian selepas dia dapat menguasai bahasa itu, barulah kami akan menghantarnya belajar ke sekolah biasa,” katanya.

Bagaimanapun menurut Erra, dia akan tetap menyokong sekiranya suatu hari nanti Aleesya berminat untuk menceburkan diri dalam bidang seni, meskipun jauh di lubuk hatinya dia tidak mahu anaknya terbabit ke dalam dunia yang penuh pancaroba itu.

http://www.murai.com.my