5232009_adlinkahwin(a)Teks oleh Ellyna Ali

IPOH, 22 MEI 2009: Hanya dengan sekali lafaz, pengkritik tetap Akademi Fantasia 7 (AF7), Adlin Aman Ramlie, 37, kini sah memperisterikan Emilda Rosmila Abdul Hamid, 29, dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid An-Nur, Batu 8, Tambun, kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Dengan berwalikan hakim, Emilda dan Adlin telah dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Pernikahan, Perceraian, Rujuk, Kawasan PJA, Ulu Kinta, Ipoh, iaitu Zainudin Abu Arshad dengan mas kahwin RM1,001, serta 7 dulang hantaran berbalas 9 daripada pengantin perempuan. Wang hantaran perkahwinan pula berjumlah RM30,000.

Adlin yang sebenarnya berstatus duda anak satu, kelihatan cukup gembira sebaik sahaja menyerah mas kahwin tersebut bersama sebentuk cincin berlian yang disarungkan ke jari manisnya dalam upacara membatal air sembahyang. Malah, dia yang kelihatan cukup segak mengenakan baju Melayu putih sedondon dengan Emilda, kelihatan cukup gembira sebaik saja selesai diijabkabulkan dalam majlis sederhana itu.

“Saya sangat seronok dan teruja sebab perjalanan selama 4 tahun – dari detik perkenalan, penyesuaian diri, pertunangan hinggalah ke saat-saat akhir membuat persiapan perkahwinan – saya sudah semakin pasti akan mengahwini wanita ini. Dia bukan saja mengenali saya dari luar dan dalam, tetapi dia juga boleh terima segala kelebihan dan kekurangan saya.

“Sekurang-kurangnya ada juga orang yang rasa saya ini layak untuk berkongsi hidup dengan dia. Saya memang mahukan perkahwinan ini menjadi. Sebab itu saya rasa begitu excited bila melalui saat-saat untuk diijabkabulkan dan saya juga rasa lega apabila segala-galanya sudah selesai.

“Sepanjang 4 tahun perkenalan kami, macam-macam cabaran yang kami lalui. Sungguhpun begitu, saya percaya perkahwinan bukan berertinya segala cubaan dalam hidup itu sudah tamat. Sebaliknya, perkahwinan adalah permulaan kepada satu cubaan lain.

“Insya-Allah, saya pasti, saya dan Mel (Emilda) akan berusaha untuk menangani segala cubaan itu supaya kami dapat menjadi pasangan yang bahagia,” katanya yang berhasrat memiliki 3 cahaya mata bersama Emilda.

Emilda sebak terkenang arwah ayah

Adlin turut mengakui bahawa Emilda adalah seorang wanita yang cukup sempurna buatnya kerana dia mampu mengendalikan dirinya serta membentuk keperibadiannya untuk menjadi seorang lelaki yang terbaik.

“Walaupun susah tetapi dia dengan ketegasan serta semangat juang yang tinggi, namun dia berjaya melakukannya. Mungkin, itulah yang membuatkan kami saling melengkapi antara satu sama lain. Sebab secara jujurnya, saya seorang lelaki yang kompleks, sukar untuk difahami serta bukan lelaki yang biasa.

“Misalnya saya tidak mampu untuk menghabiskan banyak waktu untuk dia dan membuat kejutan yang romantik dengan hadiah-hadiah berbentuk bunga atau candlelight dinner. Dari sudut itu, memang saya seorang lelaki yang gagal. Tetapi saya telah belajar perkara bahawa bermula pada saat ini saya harus memberi ruang serta kepercayaan kepada Emilda untuk meluahkan pandangan serta membuat keputusan bersama-sama.

“Sebab selalunya, sepanjang hidup saya, setiap keputusan adalah di tangan saya sendiri. Saya tidak pernah membenarkan sesiapa pun campur tangan dalam setiap keputusan yang saya buat,” katanya yang merancang untuk berbulan madu bersama Emilda di destinasi yang tidak begitu menjadi tumpuan ramai.

Emilda yang juga adik kepada pelakon Emylia Rosnaida serta adik ipar AC Mizal kelihatan begitu sebak sepanjang majlis itu. Turut hadir ibu mertua Emilda, Seniwati Mak Mah atau Ruminah Sidek.

“Saya sedih sebab arwah ayah (Allahyarham Abdul Hamid Md Ally) sudah tiada lagi. Sebab saya memang rapat dengan arwah ayah dan sepanjang hayatnya dulu, dia mahu sangat tengok saya berkahwin. Tambahan pula, waktu di awal perkenalan saya dan Adlin, dia sangat gembira dan amat merestui hubungan kami berdua,” katanya.

Tentang Adlin sebagai suami pula, Emilda berkata, sebelum ini dia memang risau apabila menjalinkan hubungan yang terlalu panjang.

“Alhamdulillah, segala-galanya berakhir dengan begitu baik sekali. Hari ini adalah hari yang cukup penting buat saya dan saya rasa saya memang tidak salah memilih Adlin sebagai suami. Selama 4 tahun mengenali hati budi masing-masing, saya yakin saya akan dapat terima dia sebagai suami.

Saya tahu macam-macam tanggapan yang orang buat tentang Adlin dan saya akui memang tidak mudah sebenarnya untuk saya memahami dia di awal perkenalan dulu. Ramai yang cakap dia bermulut celupar, kurang ajar serta susah untuk difahami.

“Di sebalik tanggapan ramai, dia sebenarnya seorang yang dengar cakap, mudah mengaku silap dan tidak segan untuk meminta maaf sekiranya tahu dirinya salah,” kata Emilda yang akur dengan permintaan Adlin supaya menumpukan sepenuh perhatian pada alam rumahtangga selepas mereka memiliki anak nanti.

Sebelum melangsungkan perkahwinan, Adlin dan Emilda telah mengikat tali pertunangan pada 14 Mac 2009 yang mana ia adalah tarikh ulang tahun kelahiran Emilda manakala tarikh persandingan mereka pada malam esok, Sabtu, di Dewan Banquet SUK Perak jatuh pada hari ulang tahun kelahiran Adlin pula. Dua lagi majlis persandingan akan diadakan masing-masing di ibu negara dan Meru, Klang, tidak lama lagi.

Murai.com.my