Dari Abdullah bin ‘Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat…”

Baru saja lepas mendengar ceramah ustazah Hjh Siti Khadijah Din sebentar tadi. Rasa terlalu bernilai ilmu yang dicurahkan beliau, rugi kalau tak dikongsi bersama.

Topik adalah mengenai adab2 solat. Setelah mengikuti kuliah beliau (2 minggu sekali) selama beberapa bulan yang lepas, baru kini timbul kesedaran betapa solat yang saya dirikan terlalu rendah kualitinya.

Bagaimana bisa solat berkenaan diterima Allah.. umur dah lanjut macam ni pun solat masih di peringkat mediocre, itu pun kalau boleh di kategorikan begitu. Secara ringkasnya, sebelum memulakan solat, penceramah mencadangkan kita mengambil 2 minit untuk “menyediakan diri” sebelum menghadap Yang Esa.

2 perkara yg elok dilakukan sebelum berniat untuk solat… sewaktu kita berdiri tegak sebelum lafaz niat :

1. Minit pertama – Membangkitkan rasa KEHAMBAAN dalam diri kita. Kenangkan kembali dosa-dosa kita, betapa kerdil dan hinanya kita, seolah-olah tak layak untuk diberi peluang menghadap yang Esa. Pendek kata, kutuk diri sendiri dan menyesallah.

2. Minit kedua – Membangkitkan rasa BERTUHAN. Betapa kita diciptakan oleh yang Esa untuk beribadat kepadaNya. Kenangkan betapa bersyukurnya kita dijadikan sebagai seorang Islam, mempunyai Tuhan yang begitu menyayangi hamba-hambanya yang hina ini lebih daripada seorg ibu menyayangi anaknya.

Setelah dilakukan kedua-dua perkara ni, barulah kita niat solat dan mengangkat takbir. Berniatlah dalam keadaan berdiri tegak, bukan sambil membetul-betulkan kain sembahyang, telekung dan sebagainya. Fokus. Setelah bertakbir, penceramah menunjukkan pula cara-cara solat yang betul, penuh adab dan sopan, sesuai dgn keperibadian kita sebagai wanita dan selayak-layaknya adab untuk menghadap Tuhan.

1) Mengangkat takbir – ada 3 cara mengangkat takbir

i. Dengan meletakkan kedua2 ibu jari di bawah cuping telinga
ii. Dengan meletakkan kedua2 jari telunjuk di bawah cuping telinga
iii. Mengangkat kedua2 tgn sehingga ke paras dada (bukan telinga).

Perlu diingatkan, kedua-kedua lengan hendaklah dirapatkan ke badan. Menurut penceramah, syaitan-syaitan yang berupa kambing hitam gemar bergayut-bergayut di celah lengan (bawah ketiak) untuk mengganggu solat kita, oleh itu sekiranya kedua-dua lengan dirapatkan, tiada ruang untuk mereka.

2) Qiyyam – cara qiyyam yg betul ialah memposisikan tangan kiri ke atas sikit dari pusat (bukan menutup pusat) sambil ibu jari dihalakan ke atas, seolah-olah menyentuh ulu hati. Tangan kanan diletakkan di atas tangan kiri agak-agak selesa. Pastikan kedua-kedua lengan adalah rapat mendekati badan.

3) Rukuk – peralihan dari posisi qiyyam kepada rukuk dilakukan dengan penuh tertib dan sopan. Kedua-dua tangan melurut peha dengan perlahan dan berhenti di atas lutut. Pastikan badan kita di dlm posisi sudut tepat (90 darjah). Siku juga dirapatkan ke badan dan sudut tepat.

4) ‘Iktidal – tegakkan badan semasa membaca “Sami Allahuliman hamidah…” dan mengangkat tangan posisi takbir ketika membaca “rabbanaa lakal hamdu”

5) Sujud – sujud dari segi istilah ialah “penyerahan diri yang tertinggi”. Tertib sujud ialah dgn meletakkan kedua-dua lutut ke lantai, baru diikuti tapak tangan dan seterusnya dahi. Kedua-dua tangan dirapatkan di bahagian bawah sedikit dari ibu jari, di mana ada sedikit ruang terbuka di antara kedua-dua tangan dan di situlah dahi diletakkan. Jangan sujud terlalu jauh ke hadapan kerana dikhuatiri akan melebihi lebih dari anggota sujud yang 7 iaitu dahi, kedua tapak tangan, kedua lutut dan kedua belah kaki (setakat jari sahaja). Ibu jari kaki dilentur sedikit agar menghala ke kiblat.

6) Duduk antara 2 sujud – ada 2 cara :

i. Papan punggung diletakkan di atas kedua2 kaki
ii. Papan punggung lebih diberatkan atas kaki kiri dan kaki kanan dilentur agar ibu jari menghadap kiblat.

7) Bangun selepas sujud – duduk sebentar sebelum bangun, bukan dalam keadaan bangun menungging. Sekiranya menghadapi kesulitan untuk bangun, gunalah tangan kanan untuk membantu kita bangun atau kedua-dua tangan.

8) Tahiyyat – mengangkat telunjuk pada ketika menyebut “…. illallahh…” ( “laa ilaa ha ILLALLAH”) Jari telunjuk itu jangan diturunkan sehingga memberi salam.

9) Salam – tidak perlu ditundukkan muka sebelum memberi salam. Menoleh sejauh mungkin sehingga 180 darjah ke belakang kerana malaikat ramai di sekeliling kita. Begitu juga ketika menoleh ke kiri. Tidak salah jika bahu dialihkan sedikit bagi membolehkan kita menoleh sehingga 180 darjah. Semasa menoleh ke kanan, alihkan sedikit bahu kiri dan sebaliknya.

10) Berdoa sesudah solat – seelok-elok duduk ialah dengan melapikkan papan punggung dengan kedua-dua kaki. Tangan diangkat separas dada dan berdoalah dalam keadaan tunduk sedikit kerana sekiranya kita berdoa dengan tangan yang tinggi dan mendongak ke langit, itu melambangkan sifat bongkak. Ingatlah, kita sedang menghadap yg Esa.

Seterusnya sebelum selesai ceramah, ustazah sempat mengingatkan para hadirin bahawa kain yang digunakan untuk solat juga perlu menepati ciri-ciri yang tertentu.

Antaranya:

01) Tidak jarang. Rata-rata kain telekung masa kini adalah jarang. Sekiranya kita memakai kain yang jarang dan dapat dilihat tengkuk dan warna kulit, maka solat kita tidak sah. Seelok-eloknya carilah kain telekung yang tidak jarang (antara caranya ialah dengan menggunakan 2 lapis kain).Ataupun, pakailah anak telekung atau tudung labuh di dalam dan pastikan sewaktu di rumah, apabila kita solat cuma dengan berbaju sleeveless di dalam telekung, pastikan bahu dan tangan tidak kelihatan warna kulit jika diamati dari luar telekung.

02) Kadang-kadang sewaktu musafir, ada muslimah yang malas embawa kain solat, sekadar membawa telekung sahaja (tak payah org lain, saya pun begini). Apabila tiba waktu solat, cuma kain di badan sahaja digunakan dan bagi menutupi kaki, kita memakai stokin. Cara ini memang tidak salah, tapi pastikan stokin yg dipakai tidak jarang. Ingatlah sewaktu kita sujud, kain stokin itu akan menegang (stretch) dan manalah tahu, terdedah aurat kita ketika itu lalu tidak sahlah solat. Sebaik-baiknya pakai stokin yang tebal (ustazah mencadangkan stokin yg lazim dipakai ketika bersukan) ataupun jika tiada, pakai 2 lapis.

3) Ada kain telekung yg indah bersulam dan berkerawang. Ada yg berlubang-berlubang sehingga di belakang telekung. Ada kalanya, bagi mereka yang rambut panjang, jika tidak ditutup betul-betul dgn serkup/anak telekung, rambut-rambut ini akan terkeluar di celah-celah kerawang telekung. Oleh itu, berhati-hatilah. Sama-samalah kita berusaha memperbaiki solat kita kerana ia adalah tiang agama.

Pertama sekali yg akan dihisab di akhirat kelak ialah solat kita. Solat yg baik akan melahirkan peribadi yang baik. Saya akui, terasa agak berat. Pengalaman saya, oleh kerana telekung saya agak jarang, saya kini memakai tudung labuh di dalam telekung setiap kali solat sambil berazam untuk membeli telekung yang lebih baik kualitinya. Walaupun kadang-kadang terasa panas ketika solat saya gagahkan juga. Yang penting, saya mencuba seboleh-bolehnya untuk mendapatkan solat yang diterima Allah, walaupun dari segi khusyuk solat, saya masih merangkak. Yang penting, kita kena ingat, inilah sebahagian persediaan kita untuk akhirat, jadi biarlah berbaloi. Jangan pula nanti kita dihisab pula kerana solat yang tak sempurna. Biar susah sekarang, jangan susah di alam baqa’.

Sekian saja yg dapat saya kongsi bersama. Sekira-kira ada salah dan silap, harap dimaafkan. Segala yang baik itu datang dari Allah s. w. t. dan yang buruk itu dari saya.

Wassalam.