engku aleesya

KUALA LUMPUR, 11 MEI 2009: Usianya kini lebih sebulan dan yang pasti, bayi yang anda tatap di atas itu adalah Engku Aleesya – buah hati pengarang jantung pasangan popular Erra Fazira Wan Chek dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin!

Rasanya inilah pertama kali wajah anak Erra dan Emran itu disiarkan untuk tatapan peminat dan murai.com.my gembira dapat berkongsi gambar Engku Aleesya yang comel itu dengan semua pengunjung portal hiburan paling sensasi ini. Tentunya Aleesya kini semakin cerdik seperti mana mama dan papanya itu.

Gambar di sebelah kanan pula adalah gambar sekumpulan wartawan dan editor hiburan yang meraikan ulang tahun hari jadi Erra secara surprise pada Februari lalu di kediaman pelakon cantik itu. Ketika itu Erra yang masih lagi sarat, sempat memangku bayi rakannya. Mungkin ketika sedang berlatih cara-cara mendukung anak!

Kalau mengikut perancangan, Erra dan Emran hanya ingin mendedahkan wajah Aleesya ketika upacara mencukur jambul selepas pantang tidak lama lagi tetapi murai.com.my telah berjaya mendapatkan gambar Aleesya terlebih dulu daripada seorang kenalan rapat.

Ketika ini Erra sedang memulihkan susuk tubuhnya dan dia dijangka akan kembali aktif dalam bidang seni apabila benar-benar bersedia. Kita ucapkan tahniah kepada pasangan Erra dan Emran yang berjaya mencapai impian mereka dalam berumah tangga apatah lagi dengan kelahiran Aleesya.