amirulKUALA LUMPUR: Pelakon drama bersiri Gerak Khas, Farid Amirul Hisham Abdullah yang memegang watak “Detektif Lim”, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan mencuri dua buah buku berharga RM194.90 di Mid Valley pada Mac lepas.

Farid Amirul, 43, sepatutnya dijatuhkan hukuman pada hari ini setelah mengaku bersalah pada 8 April, tetapi menukar pengakuannya di hadapan Majistret Mohd Faizi Che Abu.

Dia didakwa mencuri sebuah buku bertajuk “Sistine Secrets” berharga RM89.90 dan “Decoding The Heavens” berharga RM105 di Kedai Buku MPH Bookstore, Mid Valley, pada 7.15 malam 27 Mac lepas.

Pelakon itu yang diwakili peguam bela Nor Azri Mohd Arif didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Jun ini untuk tarikh perbicaraan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar. BERNAMA