“Kelemahan Umat Islam hari ini kerana kurangnya ahli fikir,” kata seorang yang berkaca mata bertubuh gempal ketika kami sama-sama melangkah keluar dari dewan tempat diadakan Seminar Intelektual Menjelang Abad 21.

“Maksud awak?” tanya saya. “Dunia Islam hanya ada ramai keilmuan, tapi tidak ada ahli fikir. Kita perlukan ahli fikir yang mampu menyelesaikan setiap permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam seluruh dunia,” ujarnya bersemangat sambil mencapai segelas fresh orange yang dihidangkan di luar dewan, lalu meneguknya. Terlalu haus agaknya, sampai tak sempat duduk.

“Awak tengok…” sambungnya, “pusat-pusat pengajian tinggi Islam, madrasah-madarasah, pondok pengajian dan pasantren, ada ribuan banyaknya. Di Mesir, Arab Saudi, Iraq, Jordan, Turki dan di negara-negara sebelah Timur sepeti Indonesia dan Malaysia sendiri pun banyak. Bermakna, lulusan pengajian Islam sudah jutaan di seluruh dunia. Tapi masalah umat Islam masih tak selesai-selesai.”

Saya melabuhkan punggung di kerusi dan sambil mengajaknya duduk. Dia menyorot wajah saya, lalu meneruskan, “Kita perlukan ahli-ahli fikir”.

“Bukan, ahli zikir!” Ujar saya. “What!” jeritnya terkejut amat sangat. “Come on, mana ada logiknya masalah hidup manusia boleh selesai dengan hanya gentel tasbih?” katanya sambil terkekeh-kekeh ketawa. Kepalanya yang separuh botak itu kelihatan berkilat-kilat.

Saya Cuma tersenyum. “Pada saya, ini masalah kurang daya intelek di kalangan ilmuan-ilmuan Islam!” tegasnya lagi.

“Bukan, ini masalah kurang daya rasa,” kata saya. “Eh, rasa apa pula ni?” katanya.

“Profesor di bidang tauhid, tapi tak ada rasa tauhid. Belajar tentang sifat-sifat Allah, tapi tak ada rasa Allah melihat, mendengar, mengawasi, mengetahui. Akalnya tahu tentang Allah, tapi hatinya tak takut pada Allah. Kurangnya daya rasa inilah menyebabkan kurangnya daya intelek dan daya beramal.”
“Awak mengelirukan saya,” katanya dengan kening berkerut.

“Maksud saya, ilmu Islam yang disampaikan sekarang ini sudah hilang rohnya. Sudah tidak berperanan lagi menyuluh kehidupan. Hanya jadi bahan mental exercise. Sebab itu makin tinggi ilmu semakin sombong, bukan semakin merendah diri. Tidak ambil hirau soal keikhlasan dan soal menimbulkan rasa kehambaan seperti rasa rendah diri, rasa hina dan malu di depan Tuhan.”

“Ok lah, apa bukti ‘daya rasa’ yang kamu maksudkan itu boleh selesaikan masalah?” tanyanya.
“Orang yang ada rasa takut dan malu dengan Allah akan meninggalkan maksiat. Orang yang merasai Allah melihatnya, tentu tak berani nak gelapkan duit, rasuah, berzina, berkhianat.”

“Macamana pulak, hari ini ramai yang sembahyang, tapi masih pemarah, masih sombong, masih mengumpat dan masih buat maksiat?”

“Dalam sembanyang, tak cukup dengan menjaga sah dan batalnya saja, tapi perlu juga menjaga hati dari rasa bangga dan sombong. Begitu juga kena jaga akal dari merayau-rayau. Sembahyang ini ibadah pokok. Beres sembahyang, soal-soal lain akan Allah permudahkan.”
“Andaian awak terlalu mudah! Tak kan boleh selesai masalah dengan sembahyang saja. Umat Islam dah ramai yang sembahyang…”

“Mengapa tidak, sembahyang itu kan ‘zikir’ yang paling besar. Kalau dalam sembahyang pun tak boleh berzikir kepada Allah, ketika bekerja, bergaul, berekonomi, lebih-lebih lagi susah untuk berzikir kepada Allah.”

“Awak ni cakap berbelit-belitlah. Setahu saya, lepas sembahyang baru berzikir. Macamana pula dalam sembahyang nak berzikir.”

“Zikir maknanya ingat Allah. Sembahyang orang berzikir ialah sembahyang yang disertai rasa hamba, rasa bertuhan. Sembahyang beginilah yang akan beri kesan pada jiwa dan peribadi seseorang. Bila jiwa dan peribadi dikuatkan oleh Allah, segala masalah dapat dihadapi dengan mudah.”

“Masalah hari ini rumit, tak mungkin dapat diatasi dengan sembahyang sahaja.”

“Tidak mungkin juga boleh diatasi dengan fikiran sahaja…kita perlukan ahli zikir lebih dari ahli fikir.”
“Saya tak faham…”

“Ahli zikir, orang yang sentiasa ingat Allah. Hanya orang bertaqwa yang sentiasa ingat Allah. Selain taqwa, seseorang itu perlu faham psikologi manusia dan psikologi masyarakat, faham isi semasa dan ada general knowledge yang luas, barulah dia dapat selesaikan masalah yang mengancam dan mencengkam setiap aspek kehidupan manusia,” jelas saya.

“Awak nak suruh ustaz-ustaz dan tuk-tuk guru belajar psikologi dan sosiologi?”

“Nak didik dan baiki masyarakat mesti kenal masyarakat. Kenal masyarakat untuk tahu penyakit mereka supaya senang diberi ubat. Tak perlu kaji secara detail, cukup secara rangkuman. Dan …”

“Jadi, betullah kata saya tadi, kita perlukan ahli fikir,” katanya memotong cakap saya.

“Betul, tetapi fikir yang terpimpin oleh zikir.”

“Macamana tu?”

“Akal mesti dipimpin dengan iman dan hati yang berpaut kepada Allah, barulah tidak sesat. Bila berfikir, hala pemikirannya jelas dan tepat. Akal yang terpimpin saja yang dapat dibawa berfikir secara kreatif dan aktif tentang dunia dan akhirat sama serentak.”

“Jadi, macamana nak lahirkan orang-orang macam tu?” soalnya.

“Inilah peranan pendidikan. Melalui pendidikan yang tepat, akal dapat dibangunkan selari dengan pembangunan jiwa. Untuk itu, pendidikan hari ini mesti menekankan kesatuan ilmu dan kesatuan amal. Islam hanya difahami dan diamalkan secara terpisah-pisah, tak secara keseluruhan.”

“Bagaimana tu?”

“Dalam Islam ada ilmu feqah, tauhid dan tasawuf. Ketiga-tiganya hakikat yang satu, macam anggota-anggota pada tubuh badan yang satu. Tapi guru-guru yang mengajar Islam hari ini hampir tidak ada yang mengajar secara bersepadu. Katalah seorang guru mengajar tauhid, dia hanya bahas sifat-sifat Allah misalnya, tapi tak kaitkan langsung dengan rasa kehambaan dan rasa bertuhan. Kerana soal-soal itu dianggap hanya sesuai untuk pelajaran tasawuf. Begitu juga bila mengajar feqah, hanya ceritakan bab halal haram atau kebersihan lahiriah. Soal kebersihan hati atau bab keikhlasan langsung tak sebut. Bila ini berlaku, tak wujudlah kesatuan ilmu. Ertinya roh ilmu itu tak ada. Lebih sedih lagi, makin tinggi peringkat pengajiannya, makin sempit ilmu bidang ilmu yang dipelajari. Untk dapat sarjana atau Ph.D, pelajar-pelajar membuat pengkhususan dalam satu-satu bidang ilmu sahaja, Feqah saja misalnya. Dahlah begitu, feqah itu pulak dipecahkan lagi kepada juzuk-juzuk kecil untuk dikaji secara terpisah-pisah.”

“Mana otak tak beku…habis masa memikirkan persoalan yang kecil-kecil !” katanya mencelah. Lalu menyoal : “Bagaimana hendak mengembalikan kesatuan ilmu dan amal?”

“Selain sistem pendidikan yang baik, kita memerlukan pendidik yang bertaqwa, yang boleh didik dan pimpin rohani manusia,” jawab saya.

“Ertinya kita perlukan ahli zikir!!” katanya sambil tersenyum.

Alhamdulillah, dah clear fikirannya.

– Dipetik dari bicara agama