3312009_errabersalinaTeks oleh Thani Hasbullah & Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 30 MAC 2009: Pelakon dan penyanyi jelita Erra Fazira selamat melahirkan bayi perempuan yang dinamakan Engku Aleesya Engku Emran di Pusat Perubatan Pakar Damansara, Petaling Jaya, pada jam 11.40 pagi tadi, Isnin.

Bayi comel yang seberat 4.04 kilogram itu dilahirkan secara normal tanpa sebarang masalah. Difahamkan, baik Erra mahu pun Aleesya, kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan yang sihat.

Berita menggembirakan ini dimaklumkan kepada murai.com.my oleh Engku Emran sendiri, tengah hari tadi. Erra sebelum ini telah dimasukkan ke wad di hospital berkenaan pada Sabtu lalu iaitu pada tarikh jangkaan awal dia akan bersalin.

“Buat masa ini saya memohon maaf kerana belum dapat menunjukkan gambar bayi kami kerana Erra masih perlu berehat. Yalah, masih baru sangat. Insya-Allah kami akan memanggil jurugambar pada majlis cukur jambul iaitu selepas Erra habis berpantang nanti.

“Tapi apa yang dapat saya kongsi dan ceritakan di sini adalah wajah Aleesya lebih mirip Erra terutama pada bahagian bibir. Rambutnya lebat, kulitnya putih kemerah-merahan dan beratnya 4.04 kilogram. Alhamdulillah, Aleesya dan Erra dalam keadaan sihat walaupun Erra masih lagi keletihan.

“Tentang nama Aleesya, ia bermaksud dilindungi. Kami berdua sudah pilih nama itu selepas dapat tahu Erra mengandung bayi perempuan,” kata Emran dengan wajah ceria dan lega.

Menceritakan detik-detik cemas di wad selama 20 minit, Emran akui turut bersama di sisi Erra ketika 4 orang petugas iaitu 3 jururawat dan seorang doktor sedang bertungkus lumus untuk membantu kelahiran Aleesya.

Bagaimanapun kata Emran, perasan cemas itu akhirnya bertukar menjadi detik yang amat menggembirakan apabila mendengar suara anaknya menangis dan Erra juga selamat.

“Erra dihantar ke hospital kelmarin selepas mengadu sakit-sakit. Dia mula terasa sarat sangat, kira-kira jam 3 pagi tadi dan doktor terus memberi suntikan bagi memudahkan proses kelahiran itu.

“Pada 7.30 pagi tadi doktor bertemu saya dan menasihati kami agar bersedia kerana proses kelahiran akan berlaku pada bila-bila masa hari ini. Awalnya doktor menjangkakan pada jam 1.30 petang tetapi ia berlaku jam 11.40 pagi tadi,” kata Emran lagi.

Yang pasti, kehadiran Engku Aleesya pastinya menceriakan hidup pasangan bahagia itu yang telah lama merindui suara bayi sejak mereka mendirikan rumah tangga.

Apa yang menarik, sebelum ini produser MIG Productions, David Teo pernah berhasrat untuk mengambil anak Erra berlakon bersama ibunya itu dalam musim kedua siri Menantu vs Mertua yang ke udara di Astro Prima. Namun kata Erra, semua itu bergantung kepada persetujuan suaminya dulu.

Adakah Engku Aleesya akan mewarisi kecantikan ibunya nanti? Kita doakan yang terbaik buat Erra dan Emran. Tahniah dari semua warga murai.com.my!