KL, 7 MAC 2009: Belum apa-apa lagi, filem terbaru Raja Azmi Raja Sulaiman, Anu Dalam Botol telah mencetuskan kecoh. Bukan sahaja judulnya yang lancang tetapi jalan cerita dan uji bakat casting yang gempak.

Awalnya Murai Batu sendiri pun tertanya-tanya apa rasionalnya filem yang sangat berat temanya ini. Kenapa Raja Azmi atau Kak Mi mahu sangat menulis dan membuat filem ini yang mengisahkan percintaan lelaki gay, bisex dan penukaran jantina?

Tahu sajalah, orang pernah cop Raja Azmi sebagai produser kepala kuning, kepala biru dan macam-macam haru biru lagi. Bukan saja filem-filemnya yang lepas, novel karya Raja Azmi pun biasanya daring-daring.

Tapi selepas dengar sendiri penjelasan Raja Azmi, barulah Murai Batu faham kenapa perlunya dia menghasilkan filem Anu Dalam Botol. Kata Raja Azmi, kali ini dia benar-benar membuat kajian dan meminta pandangan orang di sekeliling kerana tidak mahu filem ini mendatar macam filem-filem zaman awal yang diterbitkannya dulu.

362009_pondaanua

“Anu Dalam Botol bukanlah filem seks atau porno. Ia filem tentang manusia yang hidup mengikut nafsu dan tidak berfikir panjang. Saya tulis ceritanya berdasarkan kisah benar. Orang itu pun masih hidup lagi dan dia telah mendedahkan segala-galanya. Malah ‘anunya’ itu masih tersimpan dalam botol atau balang kecil di rumahnya.

“Jadi saya mahu berkongsi satu cerita yang boleh dijadikan iktibar dan pengajaran kepada masyarakat terutama kesan buruk apabila manusia sanggup menukar jantina demi mengejar sebuah cinta yang mustahil,” jelas Raja Azmi.

Rujuk pakar perubatan dan imam masjid

Murai Batu juga tanya Raja Azmi, bagaimanakah babak-babak panas akan ditonjolkan kelak dalam filem sentuhan pengarah muda, Shadan Hashim itu.

“Babaknya memang ada tapi bukanlah keterlaluan. Ia lebih kepada dialog, bahasa tubuh dan simbolik. Kalau boleh saya tidak mahu filem ini jatuh dalam kategori 18SX kerana ia menghadkan jumlah penonton kelak. Jadi macam mana mesejnya akan sampai kelak?” ujarnya.

Kata Raja Azmi kepada Murai Batu lagi, dia sedar masyarakat hari ini sudah berfikiran terbuka kerana masalah seksual pun telah dibincangkan secara meluas dalam akhbar dan majalah oleh pakar sakit tuan dan sakit puan.

“Saya membuat rujukan dulu dengan pakar perubatan dan beberapa imam masjid. Malah, saya amat tekejut kerana imam itu beritahu, ada orang datang meminta bantuan untuk menanam anu mereka yang telah dibuang itu,” kata Raja Azmi.

Sementara itu, Raja Azmi gembira, uji bakat pertama untuk watak utama Ruby/ Rubidin dan pasangannya, Ghaus, telah berjaya dilakukan di FINAS, baru-baru ini dengan diawasi oleh Adlin Aman Ramlie. Ia mendapat sambutan baik dan antara yang datang adalah Iqram Dinzly, Kefli AF3, Fauzi Nawawi, Adiputra dan beberapa artis baru serta model iklan.

Murai Batu dimaklumkan, uji bakat kedua akan dibuat lagi minggu depan juga di FINAS membabit beberapa lagi nama seperti Que Haidar, Zulhuzaimy, Razali Hussein, Shawal AF5, Fiz Fairuz, Erry Putra, Norman Hakim dan Zul (Abby Abadi), Rizal (Dunia Baru), Aliff AF6 dan Faizal Yusof.

“Kalau filem saya ini menjurus ke arah keterlaluan, takkanlah FINAS sendiri sedia membantu? Saya hanya ingin menyuntik kelainan kepada dunia perfileman kita yang masih terjerat dengan tema dan konsep yang sama saja,” jelasnya.

MURAI BATU: Masih terbayang-bayang lagi filem Gelora arahan P Ramlee, Perempuan Isteri dan …? (U-Wei) serta Panas (Nurhalim Ismail). Banyak kena cantas tu!