kaka1

MILAN – Bintang Brazil, Kaka menolak tawaran rekod dunia ke Manchester City kelmarin dan memberi jaminan untuk kekal di samping pasukan Itali, AC Milan.

Laporan media berkata, kelab Liga Perdana England terkaya dunia selepas diambil alih oleh Kumpulan Abu Dhabi United September lalu itu telah menawarkan lebih 100 juta pound (RM527 juta) untuk membeli bekas Pemain Terbaik Dunia itu.

“Buat masa ini saya tidak mahu mengubah apa-apa. Semua mesej yang saya terima meminta saya memilih dengan berhati-hati dan saya rasa akhirnya telah membuat satu keputusan. Ia sama sekali bukan mengenai wang,” ujar Kaka dalam satu siaran televisyen AC Milan lewat malam kelmarin.

Kaka, yang cuba dipikat oleh Real Madrid tahun lepas turut dikaitkan dengan Chelsea dalam media, bermain bersama Milan menentang Fiorentina dengan memperoleh kemenangan 1-0 Sabtu lalu terharu dengan sepanduk daripada peminat yang memintanya kekal bersama Milan.

“Ia sesuatu yang sangat luar biasa dan saya sangat terharu. Saya rasa amat gembira,” ujar Kaka.

Pemilik Milan yang juga Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi – kehilangan penyerang Andriy Shevchenko kepada Chelsea dalam keadaan yang sama pada 2006 – kagum dengan pemain berusia 26 tahun itu yang mementingkan bola sepak daripada kekayaan.

City berada di tangga ke-11 Liga Perdana dan mempunyai peluang kecil di England dan Eropah.

“Wang bukan segala-galanya bagi Kaka, ada yang lebih penting daripada wang. Kami gembira. Kami memberi peluang kepadanya untuk menimbangkan tawaran tersebut tetapi dia mempunyai nilai yang tinggi,” ujar Berlusconi kepada televisyen Itali.

Dalam pada itu menurut City, perjanjian dengan juara Eropah tujuh kali itu tidak mungkin berlaku.

“Berdasarkan mesyuarat di Milan kelmarin, kelab merasakan adalah tidak mungkin kedua-dua pihak boleh mencapai persetujuan mengenai perjanjian tersebut. Perbincangan hanya mencapai peringkat awal dan pemain langsung tidak terlibat,” ujar satu kenyataan.

Pengerusi Eksekutif City, Garry Cook berkata, ketika kelab bola sepak Manchester City menunjukkan minat dengan pemain berkualiti bertaraf dunia itu, mereka berhutang dengan peminat bahawa pemindahan mesti melibatkan semua peringkat, secara komersial, dari segi kewangan dan komuniti besar Manchester City.

Peminat berkumpul dan bersorak di luar rumah Kaka apabila berita tersebut mula tersebar.

Peminat-peminat Rossoneri pula membantah tawaran tersebut dalam hujan lebat di luar ibu pejabat kelab sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Ketua Eksekutif Milan, Adriano Galliani telah berjumpa dengan pegawai-pegawai City semalam untuk membincangkan minat mereka terhadap pemenang Ballon d’Or 2007 dan pemain terbaik FIFA itu.

City yang memasang cita-cita tingi yakin dengan peluang mereka untuk mengikat Kaka dan pada hujung minggu lalu, Berlusconi menyatakan adalah sukar untuk mendapatkan pemain itu.

City telah berjaya mendapatkan pemain Brazil, Robinho dari Real Madrid musim lalu dan beberapa urusan perpindahan pemain pada musim ini.

Kelab itu telah berjaya mengikat pemain West Ham United, Craig Bellamy dan pemain tengah Belanda, Nigel De Jong yang berpindah dari Hamburg SV ke City. – Reuters