memey

Teks oleh Ellyna Ali

KUALA LUMPUR, 14 JAN 2008: Pelakon Memey Suhaiza tidak selamanya mahu bersembunyi. Selepas hampir 2 bulan menyepi, dia akhirnya tampil semula ke depan untuk menjawab segala persoalan yang belum terungkai.

Memey yang ditemui di Sri Pentas semalam akui dia bukan sengaja hendak menyorok atau mendiamkan diri dan bukan pula mahu mengelakkan daripada menjawab soalan kontroversi sehingga Norman Hakim bercerai dengan Abby Abadi.

“Apabila benda tengah panas, saya tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Saya tidak mahu menghiriskan hati pihak terbabit. Lagipun saya tidak pernah berdepan dengan kontroversi seperti ini. Jadi, berdiam diri adalah cara terbaik dan ia juga atas nasihat keluarga.

“Tapi, semakin saya berdiam diri, makin memuncak pula kemarahan masyarakat terhadap saya. Semua menuding jari menyalahkan saya dengan macam-macam kutukan dan cercaan. Ada yang anggap saya takut berdepan dengan masyarakat.

“Saya hanya perlukan masa. Biar semua reda dulu. Saya mahu cari ketenangan, dan mengumpul kembali kekuatan semula. Saya sedar lambat laun saya kena berdepan dengan semua orang,” kata Memey.

Sambung Memey lagi: “Bagi saya apa yang telah berlaku ini satu ujian daripada Allah SWT. Saya pun sedih apabila semua orang hanya meletakkan kesalahan 100 peratus kepada saya. Memang saya akui dalam soal ini saya turut bersalah. Tapi, tak adil saya dituduh menjadi punca utama. Tapi, hendak buat macam mana. Memang dah begitu pandangan orang.

“Apapun Tuhan sudah pun menghukum saya di atas kesilapan yang saya lakukan dulu. Kes tangkap khalwat yang membabitkan saya dengan Norman sudah cukup jelas kepada masyarakat untuk menganggap kami sebagai penipu kerana tidak mengakui mengenali antara satu sama lain.”

Tak Tolak Jodoh Dengan Norman

Memey yang kelihatan cantik mengenakan kurung moden merah jambu akui segala telah berlaku terutama kes tangkap khalwat itu memberikan pengajaran.

“Tapi, apabila ia sudah berlaku, saya tidak punya pilihan lain, melainkan terpaksa berhadapan dengan situasi tersebut. Saya juga tidak minta apa yang terjadi sehingga ia akan mencetuskan perceraian antara Norman dan Abby.

“Terus terang apabila Norman mempertahankan diri saya di depan Abby, saya terasa ia memang tidak adil buat Abby sendiri. Saya tidak tahu mengapa Norman berbuat demikian. Dia tentu ada alasan untuk mempertahankan saya. Tapi, keadaan itu membuatkan saya semakin banyak dihentam,” katanya.

Apabila ditanya kenapa dia tidak terus mengelakkan diri daripada berjumpa atau berhubung dengan Norman pada saat berlakunya masalah rumahtangga Norman dengan Abby, Memey berkata, dia sebenarnya bekerja dengan aktor itu.

“Jadi takkanlah saya nak undur diri pula? Saya tidak boleh back off macam gitu saja. Tapi, rupa-rupanya perkara itu mengundang lagi salah tafsir,” ujarnya.

Begitu pun, Memey berkeras menafikan bahawa dia dan Norman sudah menikah di sempadan Thailand sebagaimana yang dilaporkan segelintir pihak.

“Perkara itu sama sekali tidak benar dan hanya sekadar spekulasi saja, Mungkin ada orang cuba menangguk di air keruh terhadap kontroversi kami,” katanya.

Namun, dia tidak akan menolak andainya sudah tersurat pada satu hari nanti, Norman adalah jodohnya.

“Semuanya kuasa Tuhan. Kalau Tuhan dah tentukan, saya tidak boleh menolaknya. Tapi, buat masa ini kami terus berkawan saja,” katanya.

Masih Terhutang maaf berdepan dengan Abby

Jauh di sudut hatinya, Memey memang dia mahu berjumpa dengan Abby untuk memohon maaf dan keampunan secara berdepan.

“Sebenarnya saya sudah meminta maaf menerusi media. Tapi, maklum balas yang diterima adalah sebaliknya. Tapi, saya tetap akan berusahakan untuk bertemu dengan Abby. Tapi, saya faham Abby perlukan masa,” katanya.

Jelas Memey, lagi kalau boleh dia ingin menyelesaikan semua masalah dengan segera kerana dia mahu memulakan semula kehidupan barunya.

“Lagipun saya tidak mahu dicop sebagai pelakon kontroversi. Percayalah ia bukannya satu pencapaian yang membanggakan. Saya masuk dalam bidang ini dengan matlamat untuk berjaya sebagai anak seni. Jadi kalau boleh saya mahu diberikan peluang kedua.

“Alhamdulillah, masih banyak lagi produser menawarkan peluang berlakon dalam produksi mereka. Malah, waktu saya berdiam diri pun masih ada tawaran yang datang, cuma saya yang tak sedia menerimanya.

“Sekarang saya mahu teruskan semula perjuangan yang ada dan saya juga tidak mahu mensia-siakan bakat. Andai kata saya ditakdirkan berlakon dengan Abby pun, saya akan terima,” katanya.