by gua.com.my

schaSejak kebelakangan ini, nama Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir atau lebih popular sebagai Scha bukan setakat popular sebagai pelakon, pengacara dan model, malah kisah cintanya dengan pelakon kacak Fahrin Ahmad juga semakin diperkatakan.

Tetapi bagi gadis manis ini, dia kurang selesa apabila kisah peribadinya menjadi tumpuan pihak media. Lebih-lebih lagi apabila ianya menenggelamkan cerita seninya yang mahu dikongsikan dengan peminat.

“Saya faham dengan kerja pihak media serta kehendak peminat. Buat masa ini cukuplah saya katakan saya selesa berkawan dengan Fahrin dan perhubungan kami berdua rapat seperti sahabat baik. Saya akui dia banyak membantu saya melayari kehidupan sebagai seorang anak seni dan sering memberikan bantuan serta bimbingan di saat saya memerlukannya,” katanya.

Tambahnya, dia tidak mahu kisah perhubungannya dengan Fahrin diperbesarkan kerana takut peminat salah faham dengan dirinya. Dia gusar jika dilabel pelakon baru yang suka meraihpublisiti murahan dengan kisah cinta sebegini.

“Kami berdua bukan bercinta seperti yang dianggap oleh segelintir orang. Paling penting buat masa ini saya mahu fokus dengan kerjaya seni saya dan tidak mahu memikirkan soal tersebut. Saya sekarang terlibat dengan penggambaran beberapa buah drama dan saya perlu memberikan tumpuan dan sepenuh komitmen,” katanya yang bersetuju publisiti amat penting untuk kerjaya sebagai seseorang selebriti. Namun dia mahukan publisiti yang positif serta menyerlahkan bakatnya dalam bidang seni.

Bercerita tentang kerjaya seninya kini, Scha yang sebelum ini pernah bergelar pramugari memberitahu dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama bersiri ‘Awan Dania’. Tambah menarik apabila dia kini menjadi pengacara sebuah program baru, ‘Choop’, di TV9.

“Bermula Januari ini saya mula mengacarakan sebuah program di TV9 iaitu ‘Choop’. ‘Choop’ adalah sebuah program pendek ala-ala ‘Quickie’ di 8TV. Walaupun rancangan tersebut pendek iaitu sekitar lima minit namun saya perlu memberikan info secara ringkas tetapi padat dimana saya perlu menerangkan program-program menarik yang ada di TV9.

“Mungkin bagi sesetengah orang, program ringkas sebegitu mudah untuk dijayakan, tetapi bagi saya yang masih baru di dalam bidang ini ia tetap memberikan cabaran yang besar. Oleh sebab itu ia menuntut komitmen dan sebagai pengacaranya saya perlu berusaha memberikan persembahan terbaik dalam program tersebut. Saya tidak boleh bekerja sambil lewa kerana sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mengetengah serta mempopularkan rancangan itu,” katanya.

Selain itu, Scha juga gembira apabila diberitahu pihak Tayangan Unggul bahawa filem lakonannya, ‘Histeria’ berjaya mengutip tiket jualan yang sangat memberangsangkan. Katanya walaupun filem tersebut masih baru di panggung, sehingga kini ia telah mengutip kutipan melebihi RM2.2 juta.

“Saya dan rakan-rakan lain yang terlibat dalam filem tersebut sangat terkejut kerana ‘Histeria’ berjaya meraih perhatian peminat. Malah respon daripada penonton dan peminat juga sangat positif. Saya berharap sokongan ini akan berterusan dan biarlah ‘Histeria’ mendapat kutipan yang lebih tinggi kerana sehingga kini ia masih ditayangkan kepada umum,” jelasnya yang ternyata teruja dengan situasi tersebut.

Ditanya tentang keutamaannya di antara ketiga-tiga bidang yang diceburinya iaitu peragaan, lakonan dan pengacaraan, pelakon filem ‘Antoo Fighter’ ini memberitahu ketiga-tiga bidang tersebut memberikan kepuasan berbeza kepadanya. Oleh sebab itu dia mahu mencuba dan berjaya dalam bidang-bidang tersebut kerana dia yakin dengan disiplin diri yang tinggi dia mampu melakukannya.

“Buat masa ini saya selesa dan tidak terbeban dengan apa yang saya lakukan. Saya kini perlu bijak mengatur jadual supaya ianya tidak bertindih hingga menyusahkan mana-mana pihak,” ujarnya yang bercita-cita untuk membuka sebuah galeri lukisan pada masa hadapan.