12pic1BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad – Jabatan Bomba dan Penyelamat hari ini menerima laporan “aneh tetapi benar” apabila mereka dihubungi untuk “menyelamatkan” lelaki warga asing dari atas sepohon pokok besar dalam semak berhampiran Lebuh raya Tungku.

Warga Bangladesh, dikatakan memanjat pokok itu setelah terbabit dalam kemalangan sendiri di lebuh raya itu.

Kenderaan yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke dalam lumpur di pinggir lebuh raya. Ketika kejadian, isteri dan anaknya turut berada dalam kenderaan.

Polis dan ambulans turut dihubungi mengenai kejadian.

Sembilan anggota bomba dan penyelamat Balai Bomba Jerudong diketuai pegawai memerintah, Pemangku Superintenden Kanan Awang Ranee Haji Othman terus ke tempat kejadian.

Ketika operasi menyelamat dilakukan, lelaki itu tiba-tiba pitam dan penyelamat mengambil masa kira-kira sejam menurunkannya dari pokok besar itu.

Kawasan mangsa yang ditemui di tempat kejadian berkata mangsa baru saja pulang dari Bangladesh tiga hari lalu. Dia dikatakan kurang sihat dan pulang ke kampung halamannya untuk berubat tetapi selepas kembali semula ke Brunei, emosinya dikatakan terganggu.

Mangsa yang masih pitam ketika diselamatkan dihantar ke Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha untuk pemeriksaan lanjut.