Teks oleh Roslen Fadzil

182009_mauta

KUALA LUMPUR, 7 JAN 2009: Apakah balasannya apabila seseorang muslim itu hidup bermandikan arak, mempraktikkan pergaulan bebas serta tidak percayakan kesucian kitab suci Al-Quran?

Apakah balasan itu akan diterima ketika hayat masih dikandung badan dan bagaimana pula balasan sewaktu di alam barzakh mahupun akhirat?

Itulah persoalan yang cuba dipaparkan Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia, Bade Hj Azmi, dalam karya terbarunya yang terperap selama 2 tahun, Maut.

Dibintangi nama-nama terkenal dan popular ketika ini, Maut boleh disifatkan sebagai ‘filem dakwah’ Bade yang menjurus kepada hal-hal Islamik khususnya soal kepercayaan, manusia yang ingkar serta taubat.

Filem menarik taruhan Tayangan Unggul ini menampilkan Liyana Jasmay, Sabrina Hassan, Que Haidar, Diana Danielle, Emy Nadia, Eja, Hasnul Rahmat, Nana Era FM, Reza Era FM, Fouziah Gous, Sherry Ibrahim, Awal Ashaari, Danny X Factor serta disokong Fauziah Nawi, Ridzuan Hashim dan Hamidah Wahab.

Ia telah berjaya dipranontonkan di GSC Midvalley, malam tadi dengan menyaksikan sambutan hangat daripada pihak media, pengarah-pengarah filem terkenal dan rakan artis.

Kata Bade, cabaran awal yang dihadapi apabila menghasilkan filem ini ialah apabila judul asalnya yang terpaksa ditukar daripada Malaikat Maut menjadi Maut.

“Ia ditukar atas nasihat pihak LPF selepas saya selesai menyiapkan filem ini. Saya memang telah bersedia menerima sebarang kemungkinan filem ini ditapis tidak kira daripada tajuk hingga ke syot-syotnya kerana banyak perkara sensitif tentang agama cuba saya sentuh.

“Saya hanya akur dengan nasihat yang diberikan oleh mereka yang arif kerana bimbang ia boleh menimbulkan persepsi menyimpang terhadap beberapa perkara seperti malaikatul maut dan bentuk siksaan kubur, neraka dan alam akhirat.

“Saya sebagai pengarah hanya mahu menyampaikan sebuah pengajaran, bukan sekadar filem seram dan ini adalah tafsiran saya sendiri terhadap balasan yang diterima oleh orang yang ingar dan gambaran itu datang dalam bentuk halusinasi dan dialami ketika manusia sedang koma dan nazak,” jelasnya.

Tidak dinafikan filem ini menimbulkan keinsafan di kalangan penonton kerana ketakutan terhadap dosa-dosa. Ia dapat dirasai menerusi dialog dan babak mendebarkan terutama perlambangan malaikat yang datang menjemput manusia apabila tibanya ajal.

Filem ini menonjolkan 3 cerita pendek yang masing-masing berlaku daripada bulan Sya’ban, Ramadhan dan Syawal. Setiap episod bermula dengan sehelai daun gugur dari sebatang pokok yang rimbun dan seterusnya memaparkan drama kehidupan 3 manusia iaitu Sue (Liyana), Farah (Sabrina Hassan) dan JJ (Que Haidar).

Antara babak menggerunkan ialah ketika Farah, seorang pramugari, bermimpi rambunya dijilat api ‘neraka’, memakan daging busuk dan minum lahar panas menggelegak, gara-gara dia suka meneguk arak. Begitu juga babak kemalangan jalan raya membabitkan JJ (yang menidakkan kesahihan Al-Quran) berlaku dengan penuh ngeri dan azab.

Maut akan mula ditayangkan di 34 pawagam mulai 15 Januari 2009 ini dan ia adalah filem terbaru Tayangan Unggul selepas Histeria arahan James Lee yang sudah mengaut RM2.7 juta. Pastikan anda saksikan Maut yang bakal menjelma.

Sumber: Murai.com