Kereta mewah bintang bola sepak Manchester United dan Portugal, Cristiano Ronaldo, remuk selepas dia terbabit dalam kemalangan dalam terowong berhampiran Lapangan Terbang Manchester, semalam. Memandu Ferrari, Ronaldo melalui kawasan itu kira-kira jam 10.20 pagi dan terbabas sebelum merempuh penghadang di laluan berkenaan. Jalan itu berada di bawah landasan kapal terbang dan terletak di antara Wilmslow dan Hale, Cheshire. Bahagian depan kereta itu yang dianggarkan bernilai lebih RM809,000 remuk sama sekali akibat menyerap hentaman daripada pelanggaran itu. Bagaimanapun, Ronaldo, 23, tidak mengalami sebarang kecederaan.