LONDON – Pemandu kereta Formula Satu (F1) Renault, Fernando Alonso terpaksa menangguhkan kepulangannya daripada bercuti di Kenya selepas kapal terbang persendirian yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan kecil.

Ketika kejadian, Alonso bersama anggota keluarganya baru hendak berlepas dari lapangan terbang Malindi ke Nairobi sebelum sayap kapal terbang yang dinaiki terlanggar sebuah bangunan berhampiran.

Berikutan insiden itu, sayap kapal terbang terbabit rosak teruk tetapi semua penumpangnya termasuk Alonso terselamat.

Alonso dan keluarganya bercuti di rumah milik ketua pasukan Renault, Flavio Briatore di Malindi untuk menghabiskan musim rehat F1.

Bagaimanapun Briatore tiada bersama dalam kapal terbang tersebut.

Jurucakap Renault berkata, kemalangan itu tidaklah serius seperti yang digembar-gemburkan dalam Internet.

“Cuma Fernando terpaksa menunda kepulangannya ke hari ini (semalam),” kata jurucakap itu.

Alonso merupakan juara dunia pada 2005 dan 2006 ketika bersama Renault. Dia memenangi dua perlumbaan pada musim 2008.

Ketika ini Alonso hangat disebut-sebut akan menyertai Ferrari mulai 2011. Tetapi pasukan dari Itali itu enggan memberi komen mengenainya.

– Reuters

sumber : utusan malaysia