3pic41

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat – Pelangi FM sentiasa berusaha untuk mempromosikan bakat artis tempatan menerusi rancangan yang disiarkan dan juga menerusi penerbitan album kompilasi yang mengetengahkan artis tempatan yang dihasratkan menjadi pelantar serta memberikan insentif kepada mereka untuk meningkatkan mutu muzik tempatan.

Usaha itu termasuk pelancaran album kompilasi terbaru Pelangi FM, Rentak 914 Vol III yang dilancarkan pada Disember 2008.

Sehubungan itu, artis tempatan yang terlibat dalam menjayakan album berkenaan diraikan di dalam majlis penghargaan di Gadong, semalam.

Di majlis yang dihadiri artis dan krew Pelangi, artis-artis yang diketengahkan album itu disampaikan dengan cenderahati dan sijil penghargaan yang disempurnakan oleh Pengurus Rangkaian, Helen Thu.

Beliau berharap Pelangi FM yang menyambut ulang tahunnya ke-13 akan terus menerbitkan rancangan berkualiti serta melancarkan beberapa projek baru bagi artis tempatan untuk mengetengahkan bakat mereka.

Pada majlis itu, anugerah Artis Terbaik Tahunan 2008 dan Lagu Brunei Paling Popular 2008 juga diumumkan dengan kumpulan A Band Once yang terkenal dengan lagu T’ea dan Kembalilah diumumkan sebagai Artis Terbaik dan lagu Waktu, ciptaan Nan dan dinyanyikan oleh Maria diumumkan sebagai lagu Brunei paling popular.

Kedua-dua artis dengan lagu popular mereka, Waktu dan Kembalilah, dimuatkan dalam album Rentak 914 Vol III. Album itu boleh didapatkan di pasaran dengan berharga $15.