Teks & Foto Oleh Haswari Ali

12252008_normanfoto

KUALA LUMPUR, 25 DIS 2008: Inilah imej terbaru aktor paling sensasi, Norman Hakim selepas bercerai secara sah dengan bekas isterinya, Abby Abadi, minggu lalu.

Ketika ditemui portal hiburan Melayu No: 1 dan paling popular, murai.com.my, Norman berkata keputusannya untuk membotakkan kepala, bagaimanapun tidak didorong oleh sebab-sebab khusus atau membayar nazar tertentu.

Norman berkata dia membotakkan kepala selepas 2 hari bercerai dengan Abby sebagai satu motivasi terhadap diri sendiri.

“Bila tengok cermin, saya bercakap dengan diri saya sendiri. Saya berkata, saya mahukan sesuatu yang baru dan segar. Inilah reborn (kelahiran semula) Norman Hakim,” kata Norman bersama air wajah yang cukup tenang.

Dia yang turut hadir pada majlis pelancaran Astro Megadrama di GSC Signature, The Gardens, di sini, berkata, imej botak itu lebih bersifat personal dan tiada kaitan langsung dengan mana-mana pihak. Memandangkan Tahun Baru 2009 juga semakin hampir, dia mahu hidup dengan azam baru.

Kata Norman, selepas bercerai dengan Abby, mereka masih menjalinkan hubungan yang baik demi menjamin kebahagiaan 3 anak mereka – Mohd Danish Hakim, 5, Marissa Dania Hakim, 3 dan Maria Danisha Hakim yang masuk 3 bulan.

“Kami saling berutus SMS yang lebih bertanyakan khabar terutama tentang anak-anak. Buat masa ini tidak ada giliran menjaga anak-anak kerana bagi saya ia sudah rutin kami sebagai ayah dan ibu mereka. Kasih sayang saya kepada anak-anak tidak pernah berubah.

“Saya masih menghubungi Abby melalui SMS dan berbaik dengan bekas mertua. Semuanya berjalan seperti biasa,” katanya lagi.

Malah kata Norman, selepas bercerai, dia tetap membawa anak-anaknya bersiar-siar di Genting Highlands.

“Kehidupan saya macam biasa cuma pada waktu tertentu, saya rasa hiba dan sepi. Selalunya apabila bersolat dan berdoa, hati saya selalu menjadi sebak,” katanya.

Sumber : http://www.murai.com.my