AIDIL ZAFUAN & RITA RUDAINI

Keluarga kecewa Aidil Zafuan nikah Rita di Thailand

ABD. Radzak Salleh bersama isteri, Azizah Arshat dan anak mereka, Mohd. Zaquan Adha pada sidang media mengenai pernikahan Aidil Zafuan dan Rita Rudaini di Seremban, semalam.

SEREMBAN 17 Dis. – Keluarga Aidil Zafuan Abd. Radzak, 21, sedih dengan tindakan pemain bola sepak kebangsaan itu menikahi pelakon, Rita Rudaini Mokhtar, 32 di Songkhla, Thailand pada 25 Februari lalu.

Bapanya, Abd. Radzak Salleh, 59, yang kecewa kerana perbuatan anaknya itu membelakangkan keluarga bagaimanapun tetap berdoa semoga perkahwinan Aidil Zafuan dengan Rita kekal bahagia.

Menurutnya, dia hanya dimaklumkan oleh anak perempuan sulungnya pada pukul 9 malam, 14 Disember lalu bahawa Aidil Zafuan telah bernikah dengan Rita di negara jiran itu.

“Sebelum ini, Aidil Zafuan tidak menceritakan apa-apa mengenai perkara itu. Dia telah bertemu dengan kakaknya pada 13 Disember dan menunjukkan sijil nikahnya di Thailand dengan Rita.

“Dia meminta kakaknya memberitahu saya dan isteri mengenai hal tersebut tetapi kakaknya tidak sanggup berbuat demikian,” katanya pada sidang akhbar di rumah anaknya, Ruziehana di Coral Heights di sini hari ini.

Turut hadir adik kembar Aidil Zafuan iaitu Zaquan Adha: Ruziehana, 37; abangnya, Mohd. Zafuan, 34, dan ibunya, Azizah Arshat, 56.

Menurut Abd. Radzak, sebagai keluarga besar, Aidil Zafuan sepatutnya memaklumkan kepada keluarga mengenai rancangan untuk menikahi Rita yang merupakan pelakon Anak Mami The Movie.

Ditanya sama ada dia boleh menerima kehadiran Rita sebagai menantunya, Abd. Radzak menjawab: “Saya tidak mahu komen yang itu. Semasa desas-desus hubungan Aidil Zafuan dengan Rita, saya pernah bertanya anak saya tetapi dia memberitahu mereka hanya kawan biasa.”

Menurutnya, baru-baru ini, Ruziehana ada menghubungi keluarga Rita untuk mendapatkan pengesahan mengenai pernikahan itu, malangnya ibu pelakon itu menyalahkan pihaknya sehingga akhirnya tiada perbincangan dapat dilakukan.

Sementara itu, Azizah berkata, dia tidak pernah ‘membuang’ anaknya itu walaupun berasa kehilangan sesuatu.

“Kalau saya kata suka pernikahan itu, memang orang akan kata saya berbohong tetapi itu pilihan dia, suka atau tidak saya kena terimalah.

“Kasih sayang bukan boleh dilakonkan atau dipermainkan. Ia datang sendiri. Mungkin Tuhan hendak tunjukkan sesuatu kepada saya.

“Mungkin saya boleh memberikan kasih sayang kepada Aidil, isterinya, Rita dan juga anak-anaknya,” katanya.

Dalam pada itu, adik kembarnya, Zaquan Adha juga mengesahkan dia sendiri tidak dimaklumkan tentang perkahwinan abang kembarnya dengan pelakon Rita.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana kedua ibu bapanya dapat menerima keputusan itu dengan tabah setelah ditenteramkan oleh kakak dan abangnya.

Rita yang sudah tujuh tahun menjanda sebelum ini pernah berkahwin dengan penyampai berita TV3, Akbar Shaari tetapi tidak dikurniakan cahaya mata manakala Aidil Zafuan merupakan pemain kebangsaan dan pemain Negeri Sembilan untuk musim akan datang.

Sementara itu Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berharap kontroversi pernikahan pemain bola sepak itu tidak akan menjejaskan prestasinya dalam skuad negeri dan negara.

”Saya mendoakan pasangan ini berbahagia,” katanya di sini hari ini.

Sumber : Utusan Malaysia