jpbcDi sebuah kampung tinggal seorang tua bernama Pak Sudir, seorang yang sangat kaya dan dikatakan memelihara saka. Melihat pada raut wajahnya, tiada siapa menyangka usianya telah mencecah hampir 125 tahun. Pak Sudir tinggal dengan seorang pembantu iaitu Mustika.

Di saat kematian Pak Sudir, pelbagai kejadian aneh telah berlaku menggemparkan penduduk kampung. Dikatakan Pak Sudir telah lama meninggal dan yang terlantar sakit itu adalah sakanya. Seorang bomoh terkenal, Pak Mor dipanggil dan setelah berlaku pertarungan dahsyat, saka telah berjaya dikeluarkan dan Pak Sudir akhirnya meninggal dunia.

Di Kuala Lumpur, 3 orang pemuda telah mendapat sepucuk surat setiap seorang daripada Pak Sudir menjemput mereka datang ke rumahnya. Punai, seorang penyeluk saku, Asmat bekerja di tempat letak kereta dan Johan pula seorang jurujual. Pada hari yang ditetapkan, ketiga-tiga mereka tiba di rumah Pak Sudir.

Di sana barulah mereka tahu yang Pak Sudir adalah datuk mereka dan mereka bertiga adalah sepupu. Mustika memberitahu lagi bahawa mereka bertiga bakal mewarisi harta pusaka peninggalan Pak Sudir sekiranya mereka berjaya mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Mereka hendaklah bermalam di rumah tersebut selama 3 malam berturut-turut dan tidak boleh menyentuh apa-apa barang di rumah tersebut terutamanya sebuah congkak usang. Oleh kerana syarat itu dianggap terlalu mudah bagi mereka dan ini adalah peluang untuk hidup senang, mereka pun bersetuju dengan syarat-syarat tersebut. Apa yang mereka tidak tahu adalah, sebenarnya mereka akan mewarisi ilmu saka Pak Sudir jika Berjaya mengharungi tiga malam tersebut.

Pada malam pertama, mereka telah terjumpa congkak usang yang dimaksudkan oleh Mustika. Mereka membelek-belek congkak tersebut dan apabila dibalikkan di belakang congkak itu, terdapat tulisan Sanskrit yang terukir. Ketika itu juga tulisan tersebut seperti mengeluarkan cahaya dan terkena pada muka mereka bertiga lalu mereka pengsan. Mustika dari awal hanya memerhatikan pergerakan mereka bertiga itu.

Kampung yang telah aman semenjak kematian Pak Sudir tiba-tiba gempar. Orang minyak telah muncul dan mendapat mangsa pertama. Satu makhluk yang menyerupai hantu raya juga telah muncul dan telah memakan ayam satu reban dan satu makhluk yang menyerupai toyol telah muncul dan mencuri duit kepunyaan orang kampung. Ketiga-ketiga kejadian itu berlaku serentak pada malam yang sama.

Pada pagi esoknya Punai bangun dari tidur dan hairan bagaimana satu bra boleh tergantung di lehernya. Johan pula bangun dengan bulu-bulu ayam dan darah ayam penuh di mulutnya. Asmat pula bangun dan di poketnya penuh dengan duit. Mereka sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku pada diri mereka. Pagi itu satu kampung heboh dengan tiga kejadian yang berlaku serentak pada satu malam itu. Berbagai-bagai andaian telah dibuat oleh orang-orang kampung tentang kejadian-kejadian itu. Ada yang mengatakan makhluk-makhluk peliharaan Pak Sudir telah kembali mengganas.

Pak Mor dipanggil semula. Pak Mor kemudiannya menyatakan yang makhluk-makhluk peliharaan Pak Sudir dahulu telah berkeliaran untuk mencari orang yang sanggup menjaga mereka. Pak Mor menyatakan jika makhluk-makhluk peliharaan Pak Sudir itu berjaya mendapat mangsanya 3 malam berturut-turut maka mereka telah berjaya mendapat orang yang boleh menjaga mereka dan kampung itu tidak akan aman selama-lamanya.

Apakah nasib Punai, Asmat dan Johan? Siapakah sebenarnya Mustika? Nantikan filem ke 31 dari MIG Production Sdn Bhd., JANGAN PANDANG BELAKANG CONGKAK.

About these ads